Apabila hujung minggu tiba, ramai yang mula memikirkan tempat untuk berehat selepas  seminggu sibuk bekerja. Ada yang mahu menghabiskan masa di tepi pantai, menikmati udara segar di kawasan tanah tinggi atau sekadar berjalan-jalan mencari kafe baharu.

Namun, apabila jerebu mula menjejaskan kualiti udara, rancangan untuk menghabiskan masa di luar mungkin perlu difikirkan semula. Tapi, ini tidak bermakna semua rancangan percutian perlu dibatalkan.

Sebaliknya, anda hanya perlu kreatif dan cuba sesuatu yang berbeza. Daripada meneroka ruang seni dan menikmati pengalaman kulinari hinggalah merancang staycation di hotel yang menawarkan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung.

Bagi mereka yang masih mahu mengambil peluang untuk berehat pada hujung minggu, berikut beberapa idea percutian indoor yang boleh dipertimbangkan ketika cuaca kurang mengizinkan.

1. Tukar Suasana Dengan Staycation Di Hotel

Moxy Putrajaya antara hotel yang boleh dijadikan pilihan kerana ia menawarkan akses mudah ke IOI Mall Putrajaya

Tidak semestinya perlu memandu jauh atau merancang itinerari ypadat untuk menikmati percutian. Ada kalanya, menginap semalam di hotel yang menawarkan suasana berbeza sudah memadai untuk memberikan ruang berehat daripada rutin harian.

Pilih hotel yang mempunyai kemudahan menarik seperti kolam renang dalaman, ruang istirahat, pusat kecergasan atau restoran yang menyajikan pengalaman makan istimewa.

Jika mahu menjadikan percutian lebih bermakna, cari pakej yang merangkumi sarapan atau hidangan lain supaya tidak perlu kerap keluar untuk mencari makanan.

Bagi yang ingin berehat sepenuhnya, hotel dengan spa juga boleh menjadi pilihan. Semak rawatan yang ditawarkan, harga pakej dan kemudahan yang termasuk dalam kadar penginapan sebelum membuat tempahan.

Namun, ketika jerebu melanda, jangan memilih hotel semata-mata berdasarkan pemandangan atau lokasinya. Semak keadaan kualiti udara di destinasi berkenaan dan utamakan penginapan yang mempunyai pengurusan kualiti udara dalaman yang baik.

2. Luangkan Masa Meneroka Muzium Dan Galeri Seni

Jika selama ini muzium hanya menjadi pilihan ketika membawa anak-anak bercuti, mungkin sekarang masa yang sesuai untuk melihatnya dari sudut berbeza.

Muzium dan galeri seni menawarkan peluang untuk mengenali sejarah, budaya serta hasil karya tempatan tanpa perlu menghabiskan banyak masa di luar bangunan. Sesetengah pameran juga menyediakan pengalaman interaktif yang menarik untuk pengunjung dewasa.

Di Kuala Lumpur, misalnya, pengunjung boleh mempertimbangkan lawatan ke muzium, galeri seni atau ruang pameran yang dibuka kepada orang ramai.

Semak jadual pameran dan waktu operasi terlebih dahulu kerana sesetengah ruang memerlukan tempahan awal atau mengenakan bayaran masuk.

Aktiviti sebegini juga sesuai untuk mereka yang mahu mengisi hujung minggu dengan sesuatu yang lebih santai, tanpa perlu mengejar terlalu banyak lokasi dalam satu hari.

3. Jadikan Percutian Sebagai Pengembaraan Kulinari

Ada satu cara untuk menikmati destinasi tanpa perlu memenuhi jadual dengan pelbagai aktiviti, iaitu menerokai makanannya.

Daripada mencuba restoran yang sudah lama ingin dicuba hinggalah menikmati minum petang di hotel. Bagi pencinta kopi dan matcha, kunjungan ke kafe dengan menu istimewa juga boleh melengkapkan percutian singkat.

IL Forno, yang terletak di Hyatt Centric Kuala Lumpur menjanjikan pengalaman kulinari yang menambat selera

Jika mahu sesuatu yang lebih berbeza, pertimbangkan pakej makan di hotel atau restoran yang menawarkan menu bermusim. Ada juga tempat yang menyediakan bengkel memasak dan aktiviti berkaitan makanan, bergantung pada jadual serta ketersediaan.

Untuk pengalaman yang lebih lancar, rancang beberapa lokasi yang berdekatan dan elakkan jadual terlalu padat. Apa yang dicari bukanlah sebanyak mana tempat yang berjaya dikunjungi, tetapi peluang untuk menikmati masa dengan lebih tenang.

4. Cuba Aktiviti Kreatif Di Dalam Bangunan

Hujung minggu juga boleh menjadi peluang untuk mencuba sesuatu yang jarang dilakukan dalam rutin harian.

Bengkel seni, kelas membuat seramik, sesi melukis atau kelas memasak boleh menjadi alternatif kepada aktiviti pelancongan biasa.

Selain memberikan pengalaman baharu, aktiviti sebegini membolehkan pengunjung membawa pulang hasil buatan sendiri sebagai kenangan.

Bagi mereka yang bercuti bersama rakan atau keluarga, aktiviti berkumpulan juga boleh menjadikan masa bersama lebih bermakna tanpa perlu bergantung pada keadaan cuaca.

5. Nikmati Hiburan Dan Tarikan Di Bawah Satu Bumbung

Pusat beli-belah moden kini menawarkan lebih daripada sekadar aktiviti membeli-belah. Ada yang menempatkan pawagam, pusat hiburan keluarga, tarikan interaktif dan pelbagai pilihan restoran dalam satu kawasan.

Konsep ini memudahkan pengunjung merancang beberapa aktiviti tanpa perlu berulang-alik ke banyak lokasi. Ia juga boleh menjadi pilihan untuk percutian singkat apabila mahu mengurangkan masa berada di luar bangunan.

WINDLAB, Indoor Skydiving at 1 Utama

Sekali lagi diingatkan, pilih aktiviti berdasarkan keadaan kesihatan dan kualiti udara semasa. Jika bacaan pencemaran udara berada pada tahap tidak sihat, berada di dalam bangunan awam tidak semestinya memberikan perlindungan sepenuhnya.

Kualiti udara dalaman turut bergantung pada sistem pengudaraan, penapisan dan kemasukan udara dari luar.

Rancang Dengan Bijak Sebelum Keluar Bercuti

Walaupun aktiviti dalam bangunan menawarkan alternatif ketika jerebu, keputusan untuk meneruskan perjalanan tetap perlu mengambil kira keadaan semasa.

Semak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar sebelum bertolak. Kualiti udara boleh berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain dan berubah mengikut masa.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar ketika jerebu. Individu yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit jantung, warga emas dan golongan yang lebih mudah terjejas perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Jika keadaan udara tidak sihat, tangguhkan perjalanan mungkin pilihan yang lebih baik, khususnya jika percutian memerlukan banyak aktiviti di luar.

Akhirnya, percutian tidak semestinya perlu dipenuhi aktiviti untuk terasa berbaloi. Ada masanya, menginap semalam di hotel yang selesa, menikmati hidangan istimewa atau meluangkan masa meneroka ruang seni sudah cukup untuk memberikan suasana berbeza.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah