Pencinta makanan laut dan hidangan panggang, bufet makanan laut Mediterranean di Sheraton Imperial Kuala Lumpur adalah untuk anda.
Bufet makan malam, ‘Wave & Grill’ yang dihidangkan di Essence Restaurant ini membawa konsep Mediterranean yang diinspirasikan daripada keunikan rasa asli Eropah Selatan, Timur Tengah dan Afrika Utara.
Bintang utama ‘Wave & Grill’ ialah makanan laut segar yang dipersembahkan di atas ais. Daripada tiram, udang, kupang hingga scallop, semuanya tampak segar dan cukup menggoda.
Pilihlah yang berkenan di hati dan serahkan pinggan anda kepada cef untuk di panggang secara live. Hidangan panggang seperti udang karang, udang harimau dan sotong adalah yang paling digemari ramai.


Selesai dengan makanan laut yang dipanggang, jangan lepaskan peluang untuk mencuba tiram-tiram segar yang diimport dari luar negara. Percayalah setiap sedutan ke dalam mulut membuatkan hati berasa bahagia. Segar dan berjus!
Bagi yang gemarkan rasa Mediterranean, pilihan seperti mezze Timur Tengah, antipasti Itali, paella Sepanyol serta makanan laut yang diperap dengan chermoula ala Afrika Utara juga menanti di sini. Sebab itulah bufet ini bukan sekadar bufet biasa.
Turut disediakan ialah rotisserie, shawarma, serta stesen pasta yang dihidangkan dalam roda keju Parmigiano, satu pengalaman yang jarang ditemui di bufet tempatan.


Untuk hidangan utama, pilihan seperti ikan kerapu bakar, pelbagai hidangan kambing serta sajian klasik Mediterranean melengkapkan pengalaman makan malam yang cukup memuaskan. Setiap hidangan terasa ‘well thought-out’ dan sesuai untuk mereka yang mahu menikmati sesuatu yang lebih premium tanpa perlu berhabisan ke luar negara.
Jangan lupa singgah ke kaunter panggang yang menghidangkan pelbagai pilihan protein, termasuklah tomahawk panggang.



Sudahi makan malam dengan hidangan pemanis mulut yang terdiri daripada puding, kek dan manisan seperti crème catalana, tiramisu, kek coklat dan baklava. Untuk pilihan yang lebih sihat, boleh ambil buah-buahan segar.
Sepanjang April ini, bufet ini menawarkan promosi ‘Buy 1, 2nd Person 50% Off’, satu tawaran yang agak berbaloi jika anda ingin mencuba pengalaman makan malam premium bersama pasangan atau rakan.
Maklumat Bufet:
- Hari: Setiap Jumaat & Sabtu
- Masa: 6:30 petang – 10:00 malam
- Harga: RM178 dewasa | RM89 kanak-kanak
- Promosi: Diskaun 50% untuk orang kedua (April 2026 sahaja)
Secara keseluruhan, ‘Wave & Grill’ bukan sekadar bufet makanan laut, ia adalah pengalaman kulinari yang membawa anda mengembara melalui rasa, tanpa perlu meninggalkan Kuala Lumpur. Sesuai untuk makan malam santai, sambutan istimewa atau sekadar memanjakan diri dengan hidangan yang menambat selera.

