Setahun selepas dibuka, JHOL Kuala Lumpur terus membawa tetamu menyelami kekayaan kulinari pesisiran pantai India, bukan hanya melalui hidangan di atas meja, tetapi menerusi pengalaman yang menggabungkan makanan, minuman, budaya dan hospitaliti.
Diasaskan dengan visi untuk mengetengahkan kepelbagaian masakan dari wilayah pesisiran India, JHOL Kuala Lumpur turut meneruskan legasi JHOL Bangkok yang menerima pengiktirafan Michelin, sambil membina identiti tersendiri dalam dunia santapan di Kuala Lumpur.
Sempena ulang tahun pertamanya, restoran ini memperkenalkan menu citarasa istimewa, menu makan tengah hari dan pilihan à la carte yang diperbaharui.
Hidangan signature digandingkan dengan inspirasi baharu dari pesisiran pantai India dan disajikan dalam konsep family-style, menjadikan pengalaman menjamu selera lebih santai serta menekankan nilai kemesraan dan kebersamaan.
“JHOL tidak pernah diwujudkan sekadar sebagai sebuah restoran. Ia diasaskan dengan matlamat untuk membawa kulinari pesisir pantai India yang sememangnya layak berada sebaris dengan destinasi santapan terbaik dunia. Dari Bangkok ke Kuala Lumpur, dan tidak lama lagi ke India, setiap JHOL yang dibuka merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam membawa kisah unik dari setiap wilayah ini ke pentas dunia,” ujar Chef Pengasas JHOL, Chef Hari Nayak.




Namun, apa yang menjadikan pengalaman di JHOL Kuala Lumpur lebih daripada sekadar menikmati masakan India ialah cara keseluruhan pengalaman itu disusun.
Perjalanan bermula di CHOLA, ruang yang mengetengahkan minuman diinspirasikan daripada laluan perdagangan maritim serta warisan rempah-ratus India. Dari situ, tetamu dibawa ke JHOL, nadi utama pengalaman santapan yang mengangkat masakan pesisiran India melalui hidangan yang dikurasi dan penceritaan di sebaliknya.
Selepas hidangan terakhir, pengalaman tidak semestinya berakhir. Tetamu boleh meneruskan masa di Mintsha, sebuah ruang sosial yang lebih intim untuk bersantai dan berbual.
Menurut Chef Eksekutif JHOL Kuala Lumpur, Chef Gaurav Gupta, pendekatan tersebut membolehkan restoran ini terus menawarkan pengalaman yang membuatkan tetamu mahu kembali dan meneroka sesuatu yang baharu.
“Pengalaman kulinari yang baik memberikan anda sebab untuk kembali, tetapi pengalaman yang benar-benar luar biasa akan membuatkan anda sentiasa ingin meneroka lebih banyak lagi,” katanya.


Sebagai sebahagian daripada Clifftop Group, JHOL Kuala Lumpur turut mencerminkan aspirasi kumpulan tersebut untuk membangunkan konsep hospitaliti yang mempunyai identiti tersendiri, dengan menggabungkan kecemerlangan kulinari, layanan dan penceritaan budaya.
“Ulang tahun pertama JHOL Kuala Lumpur membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar satu pencapaian buat sebuah restoran. Ia mencerminkan kepercayaan Clifftop Group bahawa hospitaliti yang cemerlang mempunyai keupayaan untuk membentuk budaya, mencetuskan semangat penerokaan dan mentakrifkan semula cara manusia berhubung melalui pengalaman santapan,” ujar Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Clifftop Group, Shyam Narayan Thakur.
Memasuki tahun kedua, JHOL Kuala Lumpur akan terus meneroka warisan kulinari pesisiran pantai India menerusi menu yang sentiasa berkembang, kolaborasi dan pengalaman santapan baharu.
Bagi mereka yang mahu melihat sisi masakan India yang lebih luas daripada apa yang biasa ditemui, JHOL Kuala Lumpur menawarkan satu perjalanan kulinari yang menggabungkan warisan, kreativiti dan cita rasa pesisiran India dalam suasana kontemporari.

