Terkenal dengan choux yang meminat selera, ORITO baru-baru ini mengambil langkah besar seterusnya dengan memperkenalkan 12 pastri baharu yang setiap satunya dihasilkan dengan teliti menggunakan teknik klasik Perancis serta mempunyai rasa unik.
Koleksi pastri terbaharu ini menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan ORITO, yang kini berkembang daripada sebuah kafe pastri kecil kepada ruang gaya hidup di mana orang ramai boleh berkumpul untuk menikmati makanan yang enak dan mencipta memori yang bermakna.
Kekal dengan falsafah asalnya, setiap sajian disediakan segar dan tidak pernah dipanaskan semula. Jadi, jangan kecewa jika pastri yang diidamkan kadangkala tidak terdapat di rak pameran jika kunjungan anda sudah lewat.
Menu baharu ini menampilkan hidangan istimewa seperti Saint Honoré dalam bentuk flan, flan coklat hazelnut, flan pistachio, flan beri campuran, pistachio raspberi donut, Donat Rocher, serta Tart Telur Perancis yang kaya dan berkrim.



Setiap gigitan mencerminkan komitmen ORITO terhadap makanan berkualiti dan jujur.
Mula dibuka di Plaza Damas, Sri Hartamas ketika pandemik melanda dunia pada penghujung 2020, ORITO berani melangkah ke hadapan, menawarkan pastri artisan yang berkualiti dan menempa nama di kalangan peminat pastri. Berbekalkan momentum tersebut, cawangan kafe kedua dibuka di TTDI pada September 2023.

Terbaharu, ORITO turut melancarkan kios di ISETAN KLCC, direka untuk memudahkan mereka yang sentiasa sibuk dan on-the-go untuk mendapatkan pastri kegemaran mereka.
“Saya bukan seorang yang banyak bercakap. Jadi, saya biarkan makanan yang berbicara. Di ORITO, setiap hidangan adalah sesuatu yang saya sendiri bangga untuk menikmatinya. Kami hasilkan segalanya tanpa jalan pintas, tanpa hiasan berlebihan, hanya makanan yang enak dan jujur,” ulas Pengasas ORITO, Justin Tang.
Tambah Justin lagi, koleksi pastri baharu ini melambangkan permulaan baharu dalam perjalanan ORITO daripada kafe pastri kecil kepada ruang gaya hidup di mana orang ramai boleh berkumpul, berkongsi makanan enak, dan mencipta kenangan bersama.
Satu lagi kelebihan ORITO yang perlu anda tahu ialah, setiap hidangan, sama ada masakan panas atau pastri, semuanya disediakan segar, penuh rasa, dan tidak pernah dipanaskan semula.

Justin memulakan perjalanannya jauh dari dapur. Beliau pada asalnya mengambil jurusan kejuruteraan kimia sebelum menemui minat sebenar dalam bidang kulinari. Ini membawanya ke Paris, di mana beliau memperoleh Grand Diplôme yang berprestij dalam masakan dan pastri Perancis dari Le Cordon Bleu.
Sepanjang enam tahun yang penuh transformasi di Perancis, jejaka ini menimba pengalaman di dapur profesional, menyelami budaya tempatan, dan mempelajari bahasa Perancis.
Pengalaman-pengalaman ini bukan sahaja membentuk kemahiran beliau, tetapi juga membina gaya dan falsafah unik yang menjadi identiti ORITO hari ini.
Sempena pelancaran ini, ORITO turut terpilih untuk mempamerkan pilihan pastri khas mereka di pameran Salon Du Pain, yang kini sedang berlangsung di Isetan Lot 10 sehingga 8 Jun, dari 10 pagi hingga 10 malam.
Acara eksklusif ini meraikan sajian bakar premium, dan ORITO dengan bangga mewakili bakat tempatan bersama nama-nama terkenal seperti Kenny Hills Bakers, Universal Bakehouse, BASK.Malaysia, dan ramai lagi.
Para pengunjung berpeluang mencuba flan pistachio yang menjadi bualan ramai, serta beberapa pastri dari koleksi terbaharu ini.