Menjelang sambutan Aidilfitri, IRAMA Signature tampil dengan tawaran istimewa menerusi pakej Rumah Terbuka Raya yang direka khusus untuk mereka yang ingin meraikan Syawal tanpa kerumitan.
Bermula dari hari ketiga, restoran ini memperkenalkan Aidilfitri Open House Raya Packages pada harga antara RM69.90 hingga RM139.90 seorang, sesuai untuk pelbagai skala majlis sama ada bersama keluarga, rakan mahupun acara korporat.
Dengan kapasiti sehingga 150 tetamu, pakej ini menjadi alternatif praktikal bagi mengelakkan kekangan biasa seperti kekurangan ruang, penyediaan makanan dan urusan pembersihan selepas majlis.
Setiap pakej menawarkan variasi hidangan yang menampilkan citarasa tradisional Malaysia dengan sentuhan moden.
Bagi pakej asas, tetamu boleh menikmati sajian klasik seperti Nasi Hujan Panas, Ayam Masak Merah dan Daging Gulai Kerisik, lengkap dengan pembuka selera seperti Roti Jala dan Satay Ayam.
Pakej pertengahan pula mengetengahkan menu lebih premium termasuk Nasi Ghee Basmati Royal, Udang Goreng Sambal dan Daging Kurma, selain tambahan stesen mi secara langsung yang memberi pengalaman interaktif.
Sementara itu, pakej tertinggi menawarkan hidangan lebih mewah seperti Lamb Flap Gulai Kerisik, Udang Sambal Hitam serta pelbagai pilihan gerai istimewa seperti Char Kuey Teow Udang, Cendol dan Soto, menjadikan ia pilihan ideal untuk majlis yang lebih eksklusif.
Pelancaran pakej Hari Raya ini dibuat pada acara berbuka puasa eksklusif yang diadakan baru-baru ini bersama penyanyi popular, Hael Husaini. Acara tersebut menghimpunkan 100 tetamu bertuah dalam suasana intim, lengkap dengan persembahan secara langsung daripada Hael.


Majlis berbuka itu turut menghidangkan menu signature IRAMA Signature seperti Ayam Percik, Pais Barramundi, Masak Lemak Udang dan Nasi Beringin, yang kini menjadi antara tarikan utama dalam pakej-pakej ditawarkan.


Kolaborasi bersama Hael Husaini dilihat bukan sahaja menambah elemen eksklusif, malah mencerminkan konsep IRAMA Signature yang menggabungkan warisan rasa tempatan dengan pengalaman gaya hidup moden.
Ia selari dengan aspirasi restoran ini untuk menjadi destinasi pilihan bagi menikmati sajian tradisi dalam suasana kontemporari.
Secara keseluruhan, pakej Raya yang ditawarkan bukan sekadar tentang makanan, tetapi juga pengalaman, daripada kemudahan penganjuran majlis hinggalah kepada kualiti hidangan yang meraikan kepelbagaian rasa Malaysia.
Bagi mereka yang ingin meraikan Syawal dengan lebih santai namun tetap meriah, IRAMA Signature memberikan satu pilihan yang lengkap di bawah satu bumbung.

