Gambar oleh Zalia Shamsul dan Shah Shamshiri

Singapura sememangnya menjadi salah satu destinasi pelancongan pilihan ramai rakyat Malaysia, kerana jaraknya yang sangat dekat dengan negara kita.

Namun kadang ramai pelancong yang beragama Islam menghadapi sedikit kesulitan mencari restoran yang mesra-Muslim ataupun yang menyajikan sajian halal.

Sungguhpun begitu, fenomena tersebut sudah semakin berubah kerana industri makanan halal berkembang dengan sangat pesat di negara jiran tersebut.

Salah satu restoran yang menyajikan hidangan halal seperti yang dimaksudkan di atas adalah The Brunch Club yang terletak di Jalan Pisang, di kawasan tersohor Masjid Sultan. Ia merupakan di antara restoran yang bernaung di bawah rangkaian The Halal Corner.

Kami di Travellah berpeluang mencuba beberapa sajian yang ada dalam menu mereka.

Mempertaruhkan konsep ‘fusion’ yang popular dalam kalangan masyarakat masa kini, The Brunch Club juga mempunyai lokasi strategik kerana terletak di kawasan pusat yang terkenal dengan banyak pilihan tempat makan serta berdekatan dengan masjid.

Malah senireka dalamannya yang kemas dan kontemporari menjadikannya sangat selesa untuk para pengunjung.

Soal hidangan pula memang tidak mengecewakan sama sekali. Ini kerana mereka menyediakan ajnas makanan termasuk aneka daging, makanan laut, pasta dan sebagainya.

Antara hidangan lazat yang sempat kami cuba adalah sotong Calamari goreng sebagai pembuka selera yang sangat menyelerakan. Ini diserikan juga dengan telur dadar bayam yang tidak kurang hebatnya.

Kami kemudian melanjutkan eksplorasi rasa dengan menjamah Club Groumit Salad bertatah bayam organik, daging lembu panggang, udang galah dan juga brokoli. Tidak kurang menarik adalah Char Grilled Avocado mereka yang juga cantik hiasannya.

Namun hidangan utamanya yang membuka mata kami (dan sempat kami rasai) adalah Sambal Balado Gigli dan Steak-Frites mereka yang menakjubkan. Mungkin kedengaran ringkas namun rasanya masih kami terbayang-bayang hingga kini.

Satu lagi yang mesti dicuba sudah tentulah pencuci mulut mereka iaitu waffle bertatah aiskrim pandan yang sangat menggiurkan. Kami yakin setiap suapan bakal membuat anda ketagih dan mahukan lagi.

Dan ini hanyalah sebahagian kecil menu mereka sedangkan ada banyak lagi yang boleh dicuba dan dirasai.

Dengan lokasi yang terletak di kawasan tumpuan warga Muslim Singapura, wajarlah untuk beristirehat sejenak dan mencuba hidangan yang tersedia di sini.

Bukan sahaja harga makanannya berpatutan dan senireka dalamannya menenangkan tetapi yang paling penting kualiti hidangannya yang enak dan lazat menjadikannya pilihan yang sesuai buat sesiapa sahaja yang ingin menikmati makanan yang halal dan sedap di Singapura!

Share:
, , , , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah