Kalau waktu makan tengah hari biasanya sekadar mencari sesuatu yang cepat sebelum kembali ke meja kerja, IL Forno di Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur menawarkan sebab untuk meluangkan sedikit lebih masa.
Terletak di Level 19, restoran Itali ini memperkenalkan Business Lunch pada hari bekerja, dengan satu tarikan yang agak sukar untuk dilepaskan, meja antipasti yang boleh dinikmati sepuas hati sebelum hidangan utama tiba.

Untuk RM72, Set Pranzo Perfetto bermula dengan pilihan antipasti dan salad daripada meja sajian, diikuti pilihan pizza atau pasta. Antara pilihan pasta ialah Linguine alla Nerano, Tagliatelle alla Bolognese dan Gnocchi con Fonduta di Grana, manakala peminat pizza boleh memilih Margherita, Diavola atau Quattro Funghi.
Konsepnya ringkas tetapi menarik. Daripada terus memilih satu hidangan utama, anda boleh memulakan makan tengah hari dengan pelbagai pembuka selera yang menyelerakan sebelum beralih kepada hidangan yang lebih mengenyangkan.
Pizza pula hadir dalam saiz 9 inci, dengan Margherita menjadi pilihan klasik, sementara Diavola menawarkan sedikit rasa pedas menerusi spicy beef salami. Quattro Funghi pula sesuai untuk mereka yang lebih gemarkan rasa earthy daripada cendawan.


Set ini turut dilengkapkan dengan Gelato alla Vaniglia bersama Amarena Fabbri dan pilihan minuman panas kopi atau teh.
Jika mahukan hidangan yang lebih berat, bolehlah memilih Set Pranzo Classico yang berharga RM94. Ia menawarkan pilihan seperti Tagliata di Manzo menggunakan Australian Angus beef, Petto di Pollo alla Milanese atau Spiedini di Pesce Spada. Pilihan hidangan utama ini juga boleh ditambah pada Set Pranzo Perfetto dengan tambahan RM30.

Dengan empat ruang makan berbeza, lounge, bar, alfresco terrace dan ruang makan utama, IL Forno juga tidak terlalu terasa seperti restoran yang hanya direka untuk makan tengah hari korporat.




Pemandangan kota Kuala Lumpur dari tingkat 19 memberi peluang kepada pengunjung mencipta kelainan kepada rutin makan tengahari. Malah, cukup sempurna jika ingin meraikan hari jadi teman sekerja atau rakan perniagaan yang sentiasa sibuk dan hanya punya masa senggang ketika makan tengahari.
IL Forno Business Lunch tersedia dari Isnin hingga Jumaat, dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang, dengan harga bermula daripada RM72.

