Mencari tempat untuk menikmati makan tengahari pada hari bekerja mungkin agak memeningkan kepala kepada sesetengah orang. Lebih-lebih lagi jika pejabat terletak di kawasan yang agak jauh daripada tumpuan ramai.
Bagi anda yang berkerja di Glenmarie, Shah Alam atau kawasan-kawasan berhampiran, minggu hadapan cubalah ajak teman-teman pejabat ke Mercure Kuala Lumpur Glenmarie untuk menikmati pelbagai pilihan hidangan tengahari yang menyelerakan.
Boleh menjamu selera dalam suasana santai dan nyaman kerana tidak perlu bersesak-sesak. Lebih menyenangkan, harga set makan tengahari yang diperkenalkan juga tidak membebankan poket masing-masing.
Seperti yang dihebohkan, set makan tengahari ekspres daripada Mercure Kuala Lumpur Glenmarie ini menjanjikan kepuasan pantas dan diyakini mampu memenuhi citarasa setiap yang datang.
Lebih istimewa, walaupun ia adalah set makan tengahari, namun pelanggan atau tetamu boleh menikmati beberapa menu pembuka selera dan pemanis mulut yang tersedia di kaunter bufet.
Ada pilihan sup, salad dan pelbagai jenis kerabu untuk hidangan pembuka mulut. Manakala untuk hidangan pemanis mulut, anda boleh menikmati buah-buahan, kuih muih tradisional, kek, dan juga aiskrim. Ambilah seberapa banyak yang anda mahu dan makanlah sehingga kenyang.
Tersedia pada hari bekerja dari 12 tengah hari hingga 2:30 petang, anda boleh memilih tujuh seleksi menu yang terdiri daripada Chicken Schnitzel, Pan-fried Salmon, Grilled Chicken Quesadilla, Fetuccini Mushroom Alfredo, Chicken Salami Monte Cristo, Black Pepper Beef Udon, dan Creamy Salted Egg Chicken.
“Makan Tengah Hari Ekspres kami direka untuk menawarkan tetamu kami pengalaman menjamu selera yang menggabungkan kepantasan, kepelbagaian dan kualiti,” ujar Pengurus Besar di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, Fariz Victor.
“Seleksi menu untuk hidangan utama akan dipersembahkan secara bergilir-gilir mengikut hari supaya pengunjung tidak berasa jemu dan berpeluang untuk mencuba hidangan yang berbeza-beza.”
“Paling penting, pengunjung tidak perlu menunggu lama untuk menjamu selera. Dapur restoran ‘Warna’ kami akan memastikan hidangan utama sampai ke meja dalam tempoh beberapa minit dan pengunjung juga boleh selesai menjamu selera dalam masa kurang daripada 40 minit,” tambah beliau.
Set makan tengahari ekspres ini dijual pada harga RM32++ satu set pada Isnin dan RM39++ satu set dari Selasa hingga Jumaat. Terdapat juga promosi ‘Beli 5 Percuma 1’ (sah untuk dine-in sahaja) dari Selasa hingga Jumaat.