Terletak di Jalan Sumatera dan sudah beroperasi selama tiga tahun, Teras Kopi adalah antara tempat lepak yang wajib singgah sekiranya berada di Pekanbaru. Lokasinya di berada di tengah-tengah Pekanbaru, Ia merupakan kafe hipster yang menyajikan masakan Nusantara.
“Nasi Gila” antara menu utama yang wajib dicuba ketika berada di Teras Kopi. Bunyi agak gila untuk kita warga Malaysia, tapi pasti enak untuk dicuba. Diketahui umum, kafe Hipster selalu menyajikan makanan yang lain dari lain, begitu juga di Teras Kopi.
Selain ‘Nasi Gila’ yang dipenuhi dengan sosej ayam, carikan ayam goreng dan bakso, Mee Ayam juga antara menu yang wajib dicuba. Bagi peminat Iga pula atau tulang rusuk, Sup Iga bersama nasi putih juga terdapat di dalam menu. Berharga 35,000 IDR atau sekitar RM13, pastinya sup Iga licin sehingga titisan sup yang terakhir.
Untuk peminat kopi pula, Teras Kopi hanya menggunakan biji kopi asli Riau sahaja. Kopi Tarik adalah antara minuman yang patut dicuba. Untuk mereka yang mengamalkan peminuman jus yang sihat, Teras Special Juice wajib dicuba. Campuran antara epal hijau, nenas dan sawi menjadikannya sihat dan enak untuk diminum.
Rata-rata yang mengunjung merupakan keluarga atau anak-anak muda kerana harga yang ditawarkan berpatutan. Selain itu setiap malam terdapat “live band” untuk menghiburkan anda. Dibuka setiap hari dari jam 0700 pagi sehingga 1130 malam, jangan lupa singgah ke Teras Kopi sekiranya anda berada di Pekanbaru.