Menu
Rasa & Savour

SEMARAK RAMADAN DI VILLA ZAMARA

Kemeriahan buffet Ramadan berterusan sepanjang bulan ini dengan pelbagai tawaran menarik yang disajikan oleh restoran dan kafe di seluruh Malaysia. Tidak terkecuali menghidangkan aneka juadah lazat untuk berbuka puasa adalah Villa Zamara, milik pasangan Feizal Alkaff dan Zahara Aljunied.

Villa Zamara yang terletak di Lot 2933 Kampung Sungai Penchala ini mempunyai konsep ruang makan di dalam taman ala Bali, sesuai sekali untuk majlis perkahwinan berkonsep taman, majlis ulang tahun mahupun majlis makan tengah hari atau makan malam korporat. Ruang letak kereta yang besar dan luas juga disedikan untuk kemudahan para tetamu.

Menyajikan 76 jenis hidangan makanan dan minuman berasaskan masakan Melayu, Cina dan Barat, Villa Zamara sama sekali tidak menghampakan pelanggannya. Malah pihak Travellah sempat berkunjung ke situ untuk berbuka puasa dan mencuba pelbagai sajian yang telah disediakan.

Antara yang menjadi pilihan kami sewaktu berkunjung adalah bubur lambuk, daging halia, kupang bercili, asam pedas ikan pari, mee bandung, aneka jenis kerabu dan banyak lagi.

Tidak dilupakan juga adalah kuih-muihnya yang enak seperti cucur udang, cekodok, epok-epok dan samosa. Minuman yang terhidang juga memenuhi jangkaan kami. Air katira dan ABC memang lazat dan menyegarkan.

Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, para pengunjung juga dihiburkan dengan kugiran yang membuat persembahan secara langung pada jam 6.30 petang hingga 10.30 malam.

Namun apa yang lebih istimewa tentang buffet Ramadan di Villa Zamara ini adalah harganya yang berpatutan iaitu RM78 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak. Jadi singgahlah Villa Zamara untuk menikmati sajian berbuka puasa yang menyelerakan!

Untuk tempahan, hubungi talian 016-7636099.

Artikel sumbangan Mursh Matsom

Share:

No Comments

    Leave a Reply