Gara-gara masyarakat majmuk yang ada di negara kita, Malaysia tidak pernah kekurangan pilihan makanan yang lazat dan unik.

Di samping nasi dan mi yang sering menjadi bahan makanan utama penduduk Malaysia, ada banyak lagi sajian lain yang tidak kurang menarik. Salah satu yang dimaksudkan adalah dim sum.

Dim Sum merupakan sejenis makanan yang berasal dari negara China. Ia terdiri daripada beberapa sajian kecil yang pada kebiasaannya dinikmati secara tradisional di restoran dalam mangkuk-mangkuk khas yang diperbuat daripada kayu oleh kumpulan etnik Kantonis untuk sarapan dan makan tengah hari.

Terdapat banyak restoran khas yang menjual makanan istimewa ini, lebih-lebih lagi di ibu kota Kuala Lumpur sejak bertahun lalu. Walau bagaimanapun pengenalan menu ini kepada rakyat Malaysia pada awalnya terhad kepada mereka yang bukan beragama Islam. Ini kerana ramuan asalnya biasanya mengandungi bahan-bahan yang tidak halal.

Namun sejak menjadi semakin popular sejak beberapa tahun yang lepas, ramai pengusaha tempatan yang telah mengambil langkah inovatif untuk menghasilkan dim sum yang halal. Ini telah membuka pasaran dim sum menjadi lebih luas di negara kita.

Sememangnya kini terdapat banyak tempat yang menjual dim sum halal di Malaysia khasnya di ibu kota. Salah satu restoran yang mula mencuri perhatian adalah The Dim Sum Place di G Village, Desa Pandan.

Restoran yang dikenali sebagai The Dim Sum Place ini sebenarnya merupakan cabang restoran sama yang berasal dari Singapura, namun diberi sedikit kelainan di Kuala Lumpur.

Diterajui pelakon, pengacara dan penerbit popular Sheila Rusly ia mula dibuka beberapa ketika sebelum pandemik COVID-19 berleluasa.

Gara-gara itu, promosinya tergendala.

Namun ia nampaknya bakal menjadi makin tersohor kerana dim sum yang mereka jual berstatus halal. Ini telah mengundang ramai pelanggan beragama Islam untuk mengunjungi premis ini dan menikmati aneka sajian yang ada.

Tersergam di pusat beli belah G Village di Desa Pandan ia menyajikan dim sum serta beberapa menu pilihan masakan lain yang halal.

Antara menu yang wajib dicuba sudah tentulah aneka pau mereka yang mempunyai pelbagai inti dan perasa. Dari inti berupa adunan telur masin hinggalah yang lebih umum seperti daging, ayam dan kaya, semuanya terbukti lazat menurut kebanyakan pengunjung yang pernah ke sini.

Menu dim sum mereka juga menawarkan ‘Siew Mai’ berisi makanan laut seperti udang dan ketam, gumpalan ubi dan keledek berisi aneka sayuran serta lobak goreng berperisa. Tidak ketinggalan juga adalah pelbagai nasi goreng seperti nasi goreng bawang putih, nasi goreng Cina.

Ada juga roti goreng bersalut susu, ikan asam, kulit ikan bersalut telur asin goreng dan macam-macam lagi.

Malah menu yang dinyatakan di sini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada sajian yang ditawarkan di restoran ini.

Di samping rekaan dalaman dan luaran bangunannya yang menarik, perkhidmatan yang diberikan juga sangat cekap dan pantas. Ini merupakan sesuatu yang sering diutamakan oleh setiap orang yang berkunjung ke restoran ini.

Jadi, sekiranya berpeluang ke G Village di Desa Pandan pastikan anda mencuba aneka hidangan di restoran ini. Kami yakin anda akan sentiasa mencari alasan untuk kembali  lagi.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *