Rangkaian hotel di bawah Marriott Bonvoy di seluruh Malaysia kembali dengan acara kulinari yang mendapat sambutan ramai, The Malaysian Kitchen. Acara  kulinari yang dijalankan di  seluruh negara ini meraikan keunikkan rasa, tradisi negeri, dan kisah di sebalik hidangan tempatan.

Dilancarkan pada 31 Mac lalu, The Malaysian Kitchen 2026 menghimpunkan cef berbakat dari hotel-hotel Marriott Bonvoy untuk mempersembahkan hidangan Malaysia yang bukan sahaja berakar pada resipi warisan, tetapi turut diberi sentuhan moden yang segar.

Daripada pedas berempah Negeri Sembilan hinggalah ke hasil laut Sabah dan Kedah, setiap hidangan membawa pengunjung menjelajah Malaysia melalui rasa.

Lebih menarik, inisiatif ini bukan sekadar festival makanan. Ia mencerminkan usaha berterusan Marriott Bonvoy dalam memartabatkan budaya kulinari tempatan,  daripada memelihara resipi tradisional, mengangkat bahan tempatan, hinggalah memperkenalkan rasa asli Malaysia kepada dunia.

Menurut Pengarah Kanan Operasi, Indonesia & Malaysia, Marriott International, Pak Masri, makanan adalah jambatan yang menghubungkan pelancong dengan sesebuah destinasi.

Melalui program ini, chef diberi ruang untuk mentafsir semula hidangan klasik dengan cara yang kreatif, sekali gus menjadikan pengalaman menjamu selera lebih bermakna.

Warisan Lama, Nafas Baharu

Di Putrajaya Marriott Hotel, Sous Chef Mohd Hairi Sahmizam membawa pengalaman lebih 25 tahun dalam masakan tempatan. Hidangan seperti Daging Masak Lemak Cili Padi tampil pekat dengan santan dan pedas menyengat, manakala Ayam Kuzi bersama roti jala mengimbau suasana kenduri dan majlis tradisi. Sentuhan beliau bukan sekadar  masakan, tetapi menyampaikan cerita di sebalik setiap resipi.

Sementara itu di Renaissance Johor Bahru Hotel, Chef Hamizi Abd Hamid mengetengahkan pengaruh pelbagai budaya Johor melalui hidangan seperti Kacang Pool dan Mee Rebus Daging Tetel, bukti bagaimana warisan Timur Tengah, Melayu dan India berpadu dalam satu pinggan.

Di Borneo, Le Méridien Kota Kinabalu menampilkan citarasa Sabah melalui Chef Kelvin Kilin. Hidangan Hinava Ikan Tenggiri yang segar dan Sinalau Sapi yang berasap memperlihatkan keaslian masakan komuniti Kadazan-Dusun serta kekayaan hasil bumi tempatan.

Kembali ke ibu negara, Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South menyajikan hidangan Pantai Timur melalui Chef Hasnaerdawaty. Nasi Dagang bersama Gulai Ikan Tongkol dan Daging Kerutuk bukan sekadar makanan — ia adalah kenangan turun-temurun yang dihidupkan semula untuk generasi baharu.

Di utara pula, The St. Regis Langkawi menonjolkan keindahan rasa Kedah melalui Chef Mohd Fauzi Hashim. Gulai Panas Ikan Tenggiri dan Laksa Kedah yang harum menjadi simbol kehidupan masyarakat pesisir pantai yang kaya dengan tradisi.

Lebih Daripada Sekadar Makan

Apa yang menjadikan The Malaysian Kitchen istimewa adalah kisah di sebalik setiap hidangan. Setiap resepi membawa memori, setiap rasa mencerminkan identiti negeri, dan setiap chef menyuntik jiwa mereka sendiri dalam masakan.

Program ini bukan sekadar pengalaman menjamu selera, tetapi satu perjalanan menyelami warisan Malaysia, di mana tradisi lama terus hidup dan berkembang mengikut zaman.

Pengunjung boleh menikmati pengalaman ini bermula 10 April 2026 di hotel dan resort Marriott Bonvoy yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah