Restoran Minangkapau yang terletak di Bukit Damansara ini dimiliki oleh Chef Selebriti, Dato’ Fazley Yaakub. Menyajikan masakan tradisional Negeri Sembilan, Minangkapau sememangnya memenuhi selera sesiapa yang menggemari makanan  ala kampung dari negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih ini.

Berkonsepkan layan diri dan separa ala-carte, pengunjung boleh memilih lauk-pauk yang terhidang di kaunter yang tersedia. Setiap lauk yang terhidang merupakan resipi yang dihasilkan sendiri oleh oleh Dato’ Fazley. Jadi jangan gusar atau bimbang dengan kualiti  dan keenakkan setiap hidangan.

Antara lauk yang wajib dicuba di Minangkapau adalah paru goreng belado, daging salai masak lemak, Udang Harimau masak lemak campur cendawan, Rendang Daging Minang serta telur itik masak lemak. Tidak dilupakan, ulam-ulaman Melayu dengan tiga jenis sambal berbeza bergantung kepada tahap kepedasan yang anda mahukan.

Selain daripada menu-menu di atas, terdapat juga pelbagai hidangan masakan panas yang boleh anda cuba. Antara menu yang menarik perhatian team Travellah ialah nasi goreng daging salai, soto berempah serta bubur pedas.

Sebagai juara Masterchef Malaysia, Dato’ Fazley boleh dikatakan seorang chef yang serba boleh. Bukan hanya mahir menyediakan masakan Negeri Sembilan, tetapi beliau juga pakar dalam menghasilkan pelbagai jenis kek. Jadi, jangan sesekali lepaskan peluang menikmati hidangan pemanis mulut di Minangkapau!

Antara menu yang boleh dijadikan pilihan ialah kek pandan, kek batik serta creme brulle. Istimewanya hidangan pemanis mulut di sini ialah, ia dihidangkan bersama ais krim potong! Ketika kunjungan team Travellah baru-baru ini, kami bertuah kerana dapat menikmati kek span special sempena kolaborasi Dato’ Fazley bersama jenama Scotch-Brite.

Jadi tunggu apa lagi? Sekiranya anda mengidam masakan nogori, tak perlulah memandu jauh sehingga ke Negeri Sembilan. Minangkapau kan ada. Bawa keluarga mahupun teman-teman ke sini untuk menjamu selera. Kalau sudah jatuh cinta, tidak mustahil Minangkapau menjadi persinggahan wajib anda nanti!

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *