Bazar Ramadan adalah tarikan yang tidak mungkin dilupakan oleh rakyat Malaysia setiap kali hadirnya bulan puasa.
Selain memudahkan golongan bekerja untuk melakukan persiapan untuk berbuka puasa, bazar Ramadan juga dilihat sebagai satu hentian untuk mencari pelbagai hidangan kegemaran, terutamanya makanan tradisi yang jarang ditemui pada hari-hari biasa.
Di Selangor, terdapat lebih daripada 60 bazar Ramadan yang boleh dikunjungi. Dari makanan tradisional hinggalah ke hidangan moden, setiap bazar menawarkan pelbagai juadah istimewa yang menambat selera.
Berikut adalah senarai bazar Ramadan popular yang boleh dikunjungi di Selangor.
Bazar Ramadan, Kuala Selangor
Kalau ke Kuala Selangor, jangan hanya cuba makanan laut dan mee udang, banyak lagi makanan rare yang hanya boleh didapati pada bulan Ramadan di sini!
Antara yang wajib dicuba ialah Philly Cheese Steak, Kunafa, Laksa Johor dan pelbagai hidangan lain yang menyelerakan.

Bazar Ramadan di Kuala Selangor menawarkan banyak pilihan dengan tapak yang luas. Antara bazar terbaik yang boleh dikunjungi termasuk Bazar Ramadan Tanjung Karang, Lotus Kuala Selangor, Saujana Utama, Ijok dan di Naluri Sukma, Puncak Jalil.
Sambil membeli belah di bazar, jangan lupa cari tempat OOTD sekitar bendang untuk sesi bergambar raya nanti! Lokasinya pun berdekatan dengan Sabak Bernam.
Bazar Ramadan, Ampang Jaya
Untuk yang bekerja di sekitar Ampang Jaya, apa kata berbuka dahulu sebelum bersesak pulang ke rumah.
Dengan lokasi bazar yang strategik di sekitar pusat bandar, ia sememangnya menjadi pilihan utama untuk para pekerja seperti Bazar Ramadan Padang Perbandaran MPAJ, Taman Malawati, Taman Sri Bayu, Jalan Ukay Perdana dan Bukit Antarabangsa.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 10 bazar Ramadan di sekitar Ampang Jaya yang menawarkan pelbagai juadah menarik seperti nasi kerabu, kuih akok, sosej Thai, lokching dan banyak lagi!
Bazar Ramadan, Shah Alam
Untuk yang mencari Nasi Mandi dari Chef Ammar yang sentiasa menjadi rebutan tiap kali bulan Ramadan, di sinilah pengunjung boleh cuba.

Jangan lepaskan peluang untuk kunjungi lima bazar ramadan di Shah Alam ini seperti Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Setia Perdana BB, Seksyen 19, Denai Alam dan Seksyen 17.
Terdapat juga makanan- makanan viral yang menjadi sasaran para penggemar makanan seperti Cheese Wheel Mac & Cheese, Murtabak Singapura, Roti John, Kambing Golek dan banyak lagi.
Bazar Ramadan, Petaling Jaya
Di Petaling Jaya, terdapat lima bazar Ramadan utama yang sentiasa menjadi tumpuan seperti Bazar Ramadan SS 6/1 Kelana Jaya, Bazar Ramadan Taman Medan, Bazar Ramadan Seksyen 17/1A, Taman Sri Manja dan Seksyen 4 Kota Damansara.
Bazar Ramadan, Kuala Langat
Untuk penduduk di Kuala Langat, bazar ramadan di sini juga tidak kurang meriahnya. Seperti di Banting, terdapat tapak Bazar Ramadan dengan lebih 100 gerai makanan tersedia!
Untuk yang mencari makanan jawa, terdapat juga gerai menjual makanan seperti nasi ambeng dan pecal jawa.
Jangan lupa untuk singgah ke lima Bazar Ramadan Kuala Langat yang terpilih tahun ini seperti Bazar Ramadan Tapak Pasar Malam Banting, Jalan SP 4/1 Bandar Saujana Putra, Tepi Jalan Sultan Alam Shah Kanchong Darat, Kawasan Trak Makanan Pusat Perdagangan Triana dan di Jalan 3/2 Jenjarom
Bazar Ramadan, Subang Jaya
Terdapat lebih daripada 20 bazar Ramadan di Subang Jaya, dengan lebih 200 gerai yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa.

Antara bazar yang wajib dikunjungi termasuklah Bazar Ramadan USJ 4, Dataran Niaga Puchong Permai, Bandar Kinrara 5, Persiaran Megah dan Taman Seri Serdang.
Di sini, anda boleh menikmati pelbagai hidangan seperti murtabak, tongmo bakar, nasi kerabu dan banyak lagi.
Jika anda merancang untuk berbuka bersama keluarga, pastikan anda datang lebih awal kerana kebanyakan bazar di Subang Jaya sentiasa dipenuhi pengunjung!
Bazar Ramadan, Klang
Dengan kepadatan penduduk yang tinggi, setiap bazar Ramadan di Klang pasti menjadi tumpuan ramai. Dari Meru hingga ke Pekan Klang, pelbagai juadah berbuka puasa tersedia untuk dinikmati.
Siapa yang tidak kenal dengan Bazar Ramadan Taman Sri Andalas? Bazar ini terkenal dengan pelbagai hidangan seperti ayam percik, kebab, nasi beriani, dan pelbagai gorengan yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung.

Selain itu, terdapat banyak lagi bazar Ramadan menarik di Klang yang boleh dikunjungi, antaranya Bazar Ramadan Simpang Empat Sungai Udang, Kampung Meru, Lorong Musran Rantau Panjang dan Jalan Raja Mokhtar.
Bazar Ramadan, Selayang
Selayang tidak kurang meriahnya dengan pelbagai bazar Ramadan yang menjadi tumpuan penduduk setempat.
Dengan kepelbagaian juadah daripada makanan tradisional Melayu hingga ke hidangan fusion moden, pengunjung pasti rambang mata!
Jom terjah lima bazar Ramadan di Selayang seperti di Dataran Greenwood, Jalan E3/8 Taman Ehsan, Jalan 2 Bandar Baru Selayang, Taman Selayang Uatama dan Bandar Rawang.
Pelbagai pilihan makanan menanti, termasuk Roti John, Ayam Golek, Nasi Kerabu, Murtabak dan banyak lagi.
Bazar Ramadan, Hulu Selangor
Dah alang- alang ke Selayang, apa kata kita ke Hulu Selangor pula. Jika anda berada di sini, jangan risau kerana bazar Ramadan di kawasan ini juga menawarkan pelbagai pilihan juadah yang enak!

Daripada hidangan tradisional hinggalah ke makanan moden, semua boleh didapati di sini. Antara lima bazar Ramadan yang popular di Hulu Selangor ialah Tapak Pasar Pagi Taman Seri di Batang Kali, Jalan Telipot 2A Bukit Sentosa, Jalan Kantan 2 Bukit Beruntung, Jalan Gapi 1A di Antara Gapi serta Medan Selera Sungai Buaya.
Makanan istimewa yang sering menjadi pilihan adalah seperti tepung talam, tauhu sumbat, lompat tikam dan macam macam lagi.
Bazar Ramadan, Kajang
Bila sebut Kajang, pasti semua teringat sate! Tapi tahukah anda, terdapat banyak lagi juadah menarik yang wajib dicuba sepanjang Ramadan ini? Antara yang popular ialah Nasi Padang, tauhu bergedil, lontong kering, dan banyak lagi!

Jika anda berada di Kajang, jangan lupa singgah ke lima bazar Ramadan terbaik di kawasan ini, antaranya di Bazar Ramadan Sungai Tangkas, Sungai Jelok, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Taman Pelangi Semenyih dan di Jalan 3/69, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi.
Bazar Ramadan, Sepang
Antara bazar Ramadan terbaik yang anda boleh kunjungi di Sepang adalah Bazar Ramadan Litar Antarabangsa Sepang, Kosmopleks, Cyberjaya, Taman Dengkil Jaya dan Sungai Pelek.
Menu popular di sini termasuklah nasi ambeng, sup gearbox, pulut panggang, ikan bakar dan pelbagai jenis kuih-muih.
Jika anda dalam perjalanan ke KLIA atau ke selatan, singgah dahulu ke bazar Ramadan di Sepang untuk dapatkan juadah berbuka puasa!
Bazar Ramadan, Sabak Bernam
Walaupun terletak di kawasan kampung, bazar Ramadan di Sabak Bernam tetap meriah dan menjadi tumpuan ramai! Daripada makanan Jawa hingga Banjar, semuanya ada di sini.
Antaranya punten, wadai kipeng, nasi ambeng, lontong dan banyak lagi hidangan tradisional yang sukar didapati di tempat lain.
Bagi yang menetap di Sabak Bernam, berikut adalah lima tapak bazar Ramadan yang sentiasa menjadi pilihan penduduk setempat seperti Tapak Pasar Awam Sekinchan, Tapak Pasar Pasir Panjang, Tapak Parkir Pasar Awam Sungai Besar, Pekan Sungai Besar dan di Pengkalan Sabak.

Foto : Ihsan Tourism Selangor