Menu
Rasa & Savour

Restoran Pandu Lalu KFC Pertama di Perlis

KFC Malaysia buka lembaran 2020 dengan pelancaran cawangan restoran pandu lalu pertamanya di Perlis. Bertepatan dengan hasrat QSR Brands bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan dan lebih akses kepada seluruh rakyat Malaysia, cawangan KFC Pandu Lalu Kangar Jaya merupakan cawangan KFC keenam yang dibuka di Perlis, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran jenama berkenaan di negara ini dengan 740 cawangan keseluruhannya.

Menerusi kerjasama di antara QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali rangkaian restoran terbesar di Malaysia, bersama pemaju Konsortium Bumita Nepta Sdn. Bhd., KFC Pandu Lalu Kangar Jaya telah dibina bagi menampung permintaan semasa serta memberi kepelbagaian nilai komersial di Bandar Baru Kangar Jaya iaitu sebuah rancangan perbandaran baharu yang sedang dibangunkan oleh pemaju yang sama.

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis; telah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian restoran KFC Pandu Lalu Kangar Jaya.

Turut hadir di dalam majlis perasmian berkenaan adalah Yang Berhormat Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengerusi QSR Brands.


Tuanku Raja Muda Perlis melihat kerjasama di antara dua syarikat tempatan berkenaan sebagai salah satu contoh bagi memangkin pembangunan ekonomi negeri Perlis menerusi penyediaan peluang pekerjaan serta perkhidmatan bagi manfaat penduduk tempatan.

Baginda bertitah, “Perlis merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam semulajadi dan mempunyai pelbagai potensi yang masih belum diteroka. Kerjasama sebegini perlu dipergiat agar dapat mengangkat potensi Perlis seiring negeri-negeri lain daripada segi pembangunan, modal insan, ekonomi, pelaburan, serta keusahawanan. Perkara ini secara tidak langsung menyokong komitmen kerajaan Malaysia menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi mencapai keseimbangan pembangunan yang adil dan sama rata merangkumi semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah geografi dan rantaian bekalan.”.

Berucap pada majlis perasmian berkenaan, Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands menyatakan, “Kami berasa teruja di atas sambutan baik warga Perlis sejak restoran KFC Pandu Lalu Kangar Jaya ini memulakan operasi pada hujung November lalu. Pelanggan masa kini lebih mengutamakan pengalaman yang serba mudah dan menyeluruh, dan perkara ini telah menjadi paksi di dalam rancangan perluasan rangkaian restoran kami yang semakin dilengkapi dengan kemudahan seperti pandu lalu 24 jam bersama pelbagai keupayaan pemesanan dan pembayaran digital”.

“Di samping memperkukuhkan kedudukan kami menerusi strategi pembangunan jenama halal yang relevan, mudah dan tersendiri (Relevant, Easy, Distinctive), QSR Brands juga berbangga kerana menjadi antara penyumbang kepada ekonomi serantau, salah satunya menerusi peluang pekerjaan yang diwujudkan. Dengan operasi QSR Brands yang lengkap daripada ”Farm to Fork” dan kehadiran kami di empat buah negara, kami telah berjaya menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 35,000 penduduk.” tambah beliau.

Perasmian berkenaan turut disambut meriah dengan kehadiran 50 anak-anak yatim daripada sekitar negeri Perlis. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KFC, “Add Hope Malaysia” menyaksikan penyampaian sumbangan sejumlah RM50,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) sebagai salah satu usaha bagi memperkasa programprogram komuniti di Perlis disamping berkongsi manfaat dengan golongan yang memerlukan.

Dana ini disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Yayasan bagi melipatgandakan usaha, memberi sumbangan yang berkesan dalam pembangunan Pendidikan dan sosio-ekonomi rakyat Negeri Perlis yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa agama dan kaum selaras dengan matlamat Yayasan.

Dana sejumlah RM50,000 berkenaan akan diagihkan secara berperingkat kepada anak yatim dan asnaf di Negeri Perlis yg memerlukan bantuan perubatan dan pendidikan. Pada setiap tahun, Yayasan dengan kerjasama Unit Kerja Sosial Perubatan Hospital Tuanku Fauziah Kangar, akan menyalurkan sumbangan bagi menyediakan kelengkapan perubatan kepada golongan yg kurang berkemampuan.

No Comments

    Leave a Reply