Pencinta makanan, terutama menu-menu grilled (panggang), BBQ Lamb KL Kemensah merupakan salah satu tempat makan yang mesti anda cuba. Ini kerana, makanan yang dihidangkan di sini ternyata menambat selera.
Restoran ini membuktikan mereka bukan semata-mata bergantung kepada kuasa viral media sosial. Tetapi pengunjung juga terpesona dengan menu-menu yang disediakan.
Selain itu, BBQ Lamb KL Kemensah juga punya ‘umpan’ yang cukup mahal. Umpan yang membuatkan ramai warga KL dan Selangor berebut-rebut untuk menjejakkan kaki di sini. Siapa yang tidak mahu makan-makan di dalam sungai?
Paling penting, tak perlu perlu pergi jauh-jauh. Belakang Zoo Negara sahaja.
“Bestnya dapat makan-makan dalam air sungai. Sambil makan, boleh hirup udara segar. Sejuk nyaman jer,” – itu antara komen netizen apabila melihat gambar-gambar yang dikongsi di media-media sosial.
Jadi tidak hairanlah selepas viral, bukan mudah untuk dapatkan tempat. Menurut pemilik BBQ Lamb KL Kemenshah, Zainuddin Yatim, tempahan untuk hujung minggu perlu dilakukan 2 atau 3 minggu lebih awal. Jika mahu walk-in, pastikan anda bersedia untuk menunggu kira-kira dua hingga ke tiga jam.
Nasihat team Travellah, lebih baik ke sini pada hari-hari bekerja. Lebih selesa dan punya banyak masa. Ini kerana jika tempahan penuh, anda hanya punya masa sehingga dua jam sahaja untuk bersantai di sini.
Berbalik kepada menu yang boleh dinikmati, team Travellah secara peribadi jatuh cinta dengan keenakan itik panggang dan kambing panggang. Rasanya cukup sempurna. Mewah dengan rasa.
Mungkin kerana ia dimasak dengan menggunakan pemanggang atau ‘rumah api’ istimewa. Bukan dibakar di dalam ketuhar moden ataupun di atas dapur. Sehingga hari ini kami masih lagi teringat-ingat dengan kelazatannya (biarpun sudah seminggu berlalu).
Kalau tak suka makan daging atau sedang berpantang atas sebab kesihatan, bolehlah pesan set makanan laut yang juga tidak kurang enaknya. Ada pilihan udang, ikan salmon, sotong dan juga lobster. Menu vegetarian juga tersedia.
Setiap set BBQ akan dihidangkan dengan sos pencicah istimewa, nasi, salad, buah-buahan, dan pemanis mulut. Minuman tersedia secara percuma dan free refill untuk semua pengunjung.
Tentang harga, anda tidak perlu risau kerana ianya masih berpatutan, lebih-lebih lagi jika anda datang beramai-ramai dan berkongsi bayaran. Setiap set bermula di antara RM30 hingga RM170.
Jadi, jika ingin menikmati hidangan enak sambil ditemani deruan air sungai serta kehijauan alam yang menyegarkan, cepat-cepat buat tempahan di talian 012-211 4100.
Untuk maklumat lanjut dan info terkini, anda boleh mengikuti akaun Instagram @bbqlambklkemensah