Negara jiran kita Singapura memang terkenal dengan banyak tempat makan yang menawarkan sajian enak, namun kadang ramai pelancong yang beragama Islam menghadapi sedikit kesulitan mencari restoran yang mesra-Muslim ataupun yang menyajikan sajian halal.
Walau bagaimanapun, keadaan ini sudah semakin berubah kerana industri makanan halal berkembang dengan sangat pesat di negara jiran tersebut.
Kini terdapat beberapa restoran di bandar raya Singa ini yang mengungguli senarai pilihan hidangan serta menu terbaik di situ.
Salah satu restoran yang semakin menjadi perhatian warga Singapura adalah Permata. Ia merupakan sebuah restoran berlokasi ekslusif di kawasan pelancongan tersohor Kampung Glam.
Terletak di dalam Gedung Kuning, Restoran ini menawarkan ajnas pilihan makanan dunia Melayu Nusantara yang diberi sedikit sentuhan moden.
Gedung Kuning, yang bermaksud “Kediaman Kuning” dalam bahasa Melayu, mungkin dibina sekitar masa yang sama atau sedikit sebelum Istana Kampong Gelam (kini dikenali sebagai Pusat Warisan Melayu). Terletak bersebelahan dengan bekas Istana tersebut, ia berada dalam kawasan yang dulunya merupakan kawasan diraja.
Senireka dalamannya yang unik, seperti bekas Istana Kampong Glam yang terletak di sebelahnya, mengikuti reka bentuk rumah Melayu tradisional yang telah direnovasi untuk menyesuaikan dengan konsep tempat makan yang mewah.
Mempertaruhkan konsep ‘buffet’ dengan tema Melayu Nusantara, menu dan sajiannya berubah setiap bulan.
Untuk bulan ini warisan selera dari negeri Pulau Pinang di Malaysia, menjadi taruhan restoran Permata.
Soal hidangan pula memang tidak mengecewakan sama sekali berkat sentuhan cef selebriti terkenal Singapura, Cef Mel Dean.
Sebagai Pengarah Kulinari di Permata Singapura, kepakarannya terserlah melalui dedikasinya terhadap masakan Melayu dan Nusantara. Dengan puluhan tahun pengalaman, beliau juga mendorong Permata meraih aneka anugerah khasnya buat premis Halal di Singapura.
Pihak Travellah sempat berkunjung ke sana dan antara sajian yang sempat kami jamah sebenarnya terlalu banyak. Ini kerana kesemua hidangannya benar-benar lazat dan menyelerakan.
Dari kudapan berupa salad aneka sayuran hinggalah pembuka selera yang lain kami benar-benar seperti berada di syurga makanan Pulau Pinang.
Apatah lagi banyak juga sajian yang dinaiktaraf mengikut gaya masakan Cef Mel. Ini termasuklah salad kerabu, ajnas sup, dan banyak lagi. Antara yang mencuri perhatian adalah Nasi Ulam Cakerawala berupa bebola Nasi Ulam yang dicampur dengan sambal bajak, ikan masin, keropok nasi, dan dicicah dengan campuran kunyit pedas.
Kami juga menyukai nasi yang dijadikan Risotto berlumuran kuah Rawon Indonesia yang sangat menyelerakan. Tidak ketinggalan roti goreng mantou bersama Ketam Cili selain laksa serta daging stik panggang yang dicecah dengan sambal tradisional hijau dan merah yang kerap digunakan dalam menu Indonesia.
Satu lagi yang mesti dicuba sudah tentulah aneka pencuci mulut unik mereka seperti, Panna Cota yang berperisa pandan, selain garapan moden kuih kole kacang dan banyak lagi. Buat pencinta durian jangan lupa menikmati pengat durian mereka yang memang menjadi pujaan ramai.
Percayalah bahawa ini hanyalah sebahagian kecil menu buffet mereka yang memang harus anda rasai. Terdapat banyak lagi makanan yang harus anda cuba sekiranya berpeluang menjamu selera di sini.
Dengan lokasi pusat pelancongan serta konsep kedudukannya yang unik di tengah-tengah Kota Singapura wajarlah untuk beristirehat sejenak dan mencuba hidangan yang tersedia di sini.
Bukan sahaja harga makanannya berpatutan dan senireka dalmannya ada cerita tersendiri tetapi kualitinya yang enak dan lazat menjadikannya pilihan yang sesuai buat sesiapa sahaja yang ingin menikmati makanan yang halal dan sedap! Sememangnya ia sebutir permata bertatah selera!
Untuk maklumat lanjut dan tempahan layari Permata Singapura.