Bagi ramai orang, makanan sihat sering dikaitkan dengan hidangan yang hambar, membosankan dan terlalu ketat dari segi pemilihan bahan.
Namun di Bangsar, sebuah restoran yang sudah lama menjadi pilihan penggemar gaya hidup sihat cuba mengubah persepsi itu menerusi pembaharuan ruang serta menu yang lebih segar dan menarik.
Fittie Sense, yang telah beroperasi sejak 2017, kini memperkenalkan wajah baharu bersama pelancaran Menu Volume 7 yang memberi lebih kebebasan kepada pelanggan untuk menikmati hidangan mengikut citarasa dan keperluan pemakanan masing-masing.
Antara yang menjadi tumpuan ialah stik daging lembu grass-fed bersama sos krim cendawan yang bukan sahaja kelihatan menyelerakan, malah mengekalkan keseimbangan nutrisi yang menjadi identiti restoran ini.

Hidangan tersebut menggambarkan pendekatan baharu Fittie Sense yang mahu membuktikan makanan sihat masih boleh menawarkan pengalaman gastronomi yang memuaskan.
Selain itu, menu terkini turut mengetengahkan konsep flexitarian yang semakin popular dalam kalangan pengguna moden. Pelanggan boleh menyesuaikan hidangan berasaskan tumbuhan dengan pilihan protein tambahan seperti ayam atau salmon mengikut citarasa masing-masing.

Bagi mereka yang lebih teliti dalam mengawal pemakanan harian, hampir setiap hidangan turut menawarkan pilihan penggantian karbohidrat.
Sebagai contoh, pasta biasa boleh ditukar kepada mi konjac yang lebih rendah kalori dan sesuai untuk pelbagai keperluan diet.
Satu lagi tarikan menarik ialah pelanggan boleh menikmati kemudahan ‘Build Your Own’ yang membolehkan pelanggan mencipta hidangan sendiri berdasarkan pilihan bahan dan sasaran nutrisi.
Maklumat makronutrien turut dipaparkan secara jelas bagi membantu pelanggan membuat pilihan yang lebih tepat mengikut matlamat kesihatan masing-masing.
Seiring dengan pembaharuan menu, ruang makan Fittie Sense juga diberikan sentuhan baharu yang lebih moden dan selesa.
Suasananya direka untuk memenuhi pelbagai keperluan, sama ada untuk makan tengah hari santai, sesi catch-up bersama rakan mahupun pertemuan komuniti yang semakin aktif dianjurkan di sini.

Malah, Fittie Sense kini bukan sekadar destinasi menjamu selera. Ia turut berkembang sebagai hab komuniti yang sering bekerjasama dengan kelab larian, komuniti yoga serta pelbagai aktiviti berteraskan kesejahteraan.
Bertempat di Jalan Telawi, Bangsar, Fittie Sense terus mengangkat idea bahawa makanan sihat tidak perlu terasa seperti satu pengorbanan. Sebaliknya, ia boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan, memuaskan dan cukup berperisa untuk dinikmati oleh semua, sama ada mereka yang baru berjinak-jinak dengan gaya hidup sihat mahupun pengamal wellness tegar.







