Ada hari-hari di mana kita tidak perlukan percutian jauh. Cukup sekadar melarikan diri seketika dari rutin, duduk tenang, dan menikmati sesuatu yang indah, perlahan-lahan. Petang saya di The Westin Kuala Lumpur terasa persis seperti itu.
Langkah pertama masuk ke ruang makan sudah memberi rasa tenang. Cahaya yang lembut, suasana yang elegan tetapi tidak terlalu formal, semuanya mengajak saya untuk ‘slow down’ dan benar-benar menikmati suasana. Dan di tengah meja, sudah menanti set hi-tea ‘Di Tanah Tinggi’ yang tersusun cantik di atas dulang tiga tingkat.
Pada saat itu, saya tahu inilah yang saya perlukan untuk memanjakan diri bersama si dia. Saya mahu ambil masa selama yang mungkin untuk menikmati set minum petang yang baru diperkenalkan ini.
Sebelum saya menyentuh makanan, seteko teh strawberi dihidangkan. Harumannya lembut, tidak terlalu kuat tetapi cukup untuk membangkitkan selera. Sebagai seseorang yang memang menggemari teh strawberi, ini sudah cukup membuatkan hati berbunga-bunga.
Set hi-tea ini dihidangkan dengan cantik atas tiga tingkat dulang, penuh dengan pilihan savoury dan manisan bertemakan strawberi. Semuanya nampak cantik, seolah-olah memanggil untuk dimakan.

Antara semua, scone mereka yang paling memikat selera. Terdapat dua jenis scone yang dihidangkan iaitu Classic Butter Scone dan Dried Strawberry Scone. Ia lembut di dalam, dengan sedikit kerak di luar.
Tetapi yang benar-benar membuatkan saya jatuh cinta adalah padanannya, jem strawberi yang segar dan mentega truffle yang lembut, berkrim dan sedikit berlemak.
Untuk pilihan savoury, baked spinach quiche adalah kegemaran saya. Rasanya ringan tapi cukup berlemak dan creamy, memang sesuai untuk imbangi hidangan manis.

Memang sukar buat pilihan untuk hidangan manis. Tapi, Berry Medley Tart jadi pilihan utama saya. Strawberinya segar dan berjus, dengan rasa masam-manis yang sangat menyegarkan.
Selain itu, Strawberry Rose Profiteroles juga sangat menyegarkan. Kombinasi rasa yang ringan dengan sentuhan floral, mencipta kemanisan yang elegan.


Dengan harga RM128 untuk dua orang, saya berpendapat ia memang sangat berbaloi. Bukan sahaja dari segi rasa, tapi juga keseluruhan pengalaman, suasana, persembahan makanan, dan kualiti bahan yang digunakan.
Kalau anda peminat strawberi seperti saya, ini memang hi-tea yang wajib cuba. Satu pengalaman kecil yang mampu buat hari terasa lebih indah.
Senarai Menu ‘Di Tanah Tinggi’
Savoury:
*Beet Cured Salmon, Ikura on Toast
* Lime Scented Compressed Watermelon Cone
* Baked Spinach Quiche
Sweets:
* Strawberry White Chocolate Trifle
* Strawberry & Raspberry Roulade
* Pistachio Strawberry Gateaux
* Strawberry Crème Brûlée
* Strawberry Rose Profiteroles
* Berry Medley Tart
Scones:
* Classic Butter Scones
* Dried Strawberry Scones
(dihidangkan bersama jem strawberi dan mentega truffle)
Minuman:
* Teh Strawberi Janat

