Kuala Lumpur memang terkenal dengan banyak tempat makan yang menawarkan sajian enak serta halal, namun terdapat beberapa restoran di hotel-hotel ternama bandar raya ini yang mengungguli senarai pilihan hidangan serta menu terbaik di situ.
Salah satu restoran yang harus menjadi perhatian warga Lembah Kelang adalah Itameshi yang terletak di kawasan Maluri di Cheras. Restoran ini menawarkan ajnas pilihan menu unik hasil gabungan selera Jepun dan Itali yang diberi sedikit sentuhan moden.
Mempertaruhkan konsep selera Jepun dan Itali, ia bukan sahaja sesuai untuk makan tetapi juga tempat yang cantik untuk mengambil gambar dan mengadakan acara.
Senireka dalamannya yang unik turut dihiasi dengan aneka bentuk hasil seni yang lebih kontemporari. Ia juga mempunyai ruangan khas untuk mengadakan acara tertutup dan peribadi serta ruang solat buat mereka yang beragama Islam.
Soal hidangan pula memang tidak mengecewakan sama sekali berkat sentuhan idea pemiliknya Eddie Azhar yang juga pembekal makanan laut segar.
Lebih menarik kesemua hidangan di sini menggunakan bahan mentah yang halal dan tiada penjualan alkohol.
Antara hidangan pilihan tamu adalah sajian pembukanya seperti Tomato Carpaccio dan Bruschette Pomodoro.
Tidak lupa juga hidangan utama seperti stik Bistecca d’Angus dan menu ikan yang digelar Branzino Intero . Ini turut disertai sushi dan sashimi yang lazat.
Satu lagi yang mesti dicuba sudah tentulah pencuci mulut mereka iaitu Creme Brulee yang memang memuaskan.
Dan ini hanyalah beberapa sahaja pilihan menu mereka yang lazat dan menarik. Ada banyak lagi sajian mereka yang harus dicuba.
Dengan lokasi yang mudah ditujui dan jauh dari hingar-bingar kesibukan kota serta ruang letak kereta yang banyak dan luas, wajarlah untuk beristirehat sejenak sambil mencuba hidangan yang tersedia di Itameshi.
Bukan sahaja harga makanannya berpatutan dan senireka dalamannya ada cerita tersendiri tetapi kualitinya yang enak dan lazat menjadikannya pilihan yang sesuai buat sesiapa sahaja yang ingin menikmati makanan yang halal dan sedap!
Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang mereka di sini atau terus ke restoran mereka di L1-01, Residensi Lavile, 5, Lorong Peel, Maluri, Kuala Lumpur, Malaysia.