Kalau selama ini Beryl’s, BOH, Gardenia, Mister Potato, Oriental Kopi dan ZUS Coffee hadir dalam bentuk yang sudah cukup dikenali, kali ini jenama-jenama tempatan popular itu tampil dalam edisi istimewa sebagai aiskrim.

Menerusi Lokal Legends 2026, Inside Scoop menggabungkan sembilan jenama ikonik Malaysia dalam koleksi perisa edisi terhad yang mengambil inspirasi daripada citarasa dan memori yang sudah sebati dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Daripada teh tarik dan roti bakar kaya mentegahinggalah coklat, ube serta jeli mentega kacang, setiap perisa membawa identiti tersendiri.

Antara yang menarik perhatian ialah Beryl’s Tiramisu Almond Chocolate, yang menggabungkan aiskrim coklat gelap tiramisu dengan lapisan coklat gebu dan lembut serta badam panggang madu.

Bagi penggemar minuman klasik Malaysia, BOH Teh Tarik pula hadir dalam bentuk aiskrim teh tarik yang menggunakan teh BOH dan susu pekat manis, sebelum dipadankan dengan mochi gula perang yang kenyal.

Farm Fresh Pistachio Yoghurt Crunch menawarkan sesuatu yang lebih segar menerusi aiskrim yogurt bersama kunafa pistachio rangup, manakala Gardenia Choc-A-Lot Twiggies mengambil inspirasi daripada snek nostalgia dengan aiskrim susu coklat dan potongan Gardenia Twiggies Choc-A-Lot.

Penggemar kombinasi manis dan masin boleh mencuba Mister Potato Choc Potato Chips N’ Cream, sementara pencinta sarapan kopitiam mungkin tertarik dengan Oriental Kopi Kaya Butter Toast yang menggabungkan aiskrim kaya pandan, mentega perang dan cebisan roti bakar.

Turut berada dalam koleksi ini ialah Secret Recipe Chocolate Indulgence®, Thumbs Peanut Butter Jelly serta ZUS Coffee Ube Latté, menjadikan keseluruhan koleksi sembilan perisa dengan karakter yang berbeza.

Yang menjadikan Lokal Legends 2026 lebih menarik ialah konsepnya turut diinspirasikan oleh pasar raya, tempat yang menghimpunkan pelbagai jenama yang sudah lama menemani kehidupan rakyat Malaysia.

Sempena pelancaran kempen, cawangan Inside Scoop di Galeria SA Sentral, Shah Alam diubah menjadi sebuah pasar raya mini bertemakan Lokal Legends. Pengunjung boleh meneroka setiap kolaborasi, mengenali kisah di sebalik jenama yang terlibat dan mencuba perisa-perisa baharu tersebut.

Kalau sembilan perisa ini terlalu sukar untuk dipilih satu, Inside Scoop turut memperkenalkan 9-Scoop Party Pack yang menghimpunkan kesemuanya dalam satu kotak.

Lebih menarik, setiap pembelian didatangkan bersama Ice Cream Passport Edisi Khas Lokal Legends serta koleksi pelekat eksklusif.

Lokal Legends diperkenalkan sejak 2024 sebagai kempen tahunan yang meraikan jenama tempatan yang mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Tahun ini, sembilan kolaborasi tersebut sekali lagi menggabungkan nostalgia dengan sesuatu yang lebih kontemporari, dalam bentuk yang paling mudah dinikmati iaitu aiskrim.

Kesemua perisa Lokal Legends 2026 mula ditawarkan di cawangan Inside Scoop yang mengambil bahagian di seluruh negara bermula 10 Ogos 2026, untuk tempoh terhad.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah