Kalau anda masih menganggap percutian menaiki kapal persiaran sekadar tentang menikmati bufet, berjemur di tepi kolam atau menyaksikan persembahan pentas, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat konsep cruise dari perspektif yang berbeza.
Julai ini, Dream Cruises memperkenalkan pengalaman pelayaran yang menggabungkan percutian dengan gaya hidup aktif menerusi kolaborasi bersama Kim Jae Hong, atau lebih dikenali sebagai Amotti.
Pelayaran selama dua malam menaiki Genting Dream dari Singapura ke Melaka pada 26 hingga 28 Julai 2026 itu menjanjikan pengalaman yang cukup berbeza buat peminat kecergasan dan penggemar pelayaran yang mencari kelainan.
Tarikan utamanya sudah tentu DreamROX, cabaran kecergasan yang direka untuk menguji kekuatan, ketangkasan dan daya tahan peserta menerusi beberapa stesen latihan berfungsi.
Lebih menarik, salah satu daripada empat sesi DreamROX akan dikendalikan sendiri oleh Amotti di dek kolam utama kapal, membolehkan peserta bersenam sambil menikmati pemandangan laut yang terbentang luas.
Selain DreamROX, tetamu juga boleh menyertai sesi High-Intensity Interval Training (HIIT) yang dikendalikan Amotti. Sesi yang ditawarkan secara percuma ini memberi peluang kepada penumpang memulakan hari dengan senaman berintensiti tinggi di tengah lautan, sesuatu yang pastinya sukar ditemui dalam mana-mana percutian biasa.
Bagi peminat setia bintang kecergasan Korea Selatan itu, pelayaran ini turut menawarkan sesi Meet & Greet secara percuma.
Ia memberi peluang kepada tetamu untuk bertemu, bergambar dan berinteraksi secara lebih dekat dengan juara rancangan realiti kecergasan popular Netflix Physical: 100 Musim 2.

Konsep pelayaran berasaskan kecergasan seperti ini semakin mendapat tempat dalam industri pelancongan global apabila semakin ramai pengembara mencari pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi manfaat kepada kesihatan.
Ia membuktikan bahawa bercuti tidak semestinya bermaksud berehat sepanjang masa, sebaliknya boleh menjadi peluang untuk mencabar diri sambil menikmati destinasi baharu.
Sudah tentu, pengalaman di atas Genting Dream tidak terhad kepada aktiviti kecergasan semata-mata. Penumpang masih boleh menikmati pelbagai kemudahan premium termasuk pilihan restoran bertaraf antarabangsa, persembahan hiburan, spa, taman air, pusat membeli-belah serta singgah di Melaka sebelum kembali ke Singapura.
Bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman ini, pelayaran khas tersebut akan berlepas dari Singapura pada 26 Julai 2026 dan kembali pada 28 Julai 2026. Tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi StarDream Cruises.
Penyertaan untuk DreamROX boleh didaftarkan selepas menaiki kapal di Box Office, Deck 6 berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.
Sesi eksklusif bersama Amotti berharga SGD25 seorang, manakala tiga lagi sesi DreamROX tanpa penyertaannya berharga SGD15 seorang. Sementara itu, sesi HIIT dan Meet & Greet bersama Amotti ditawarkan secara percuma, tertakluk kepada kekosongan.
Jika selama ini anda mencari alasan untuk mencuba pengalaman cruise yang berbeza daripada kebiasaan, pelayaran ini mungkin jawapannya. Ia bukan sekadar membawa anda merentas lautan, tetapi turut mengajak anda keluar dari zon selesa dengan pengalaman kecergasan yang sukar dilupakan.

