Jika dihitung, Selangor mempunyai pusat membeli-belah yang cukup banyak. Biarpun ramai yang mula beralih kepada trend membeli-belah secara online, namun kebanyakan pusat membeli-belah masih dibanjiri ramai, terutamanya yang menawarkan pengalaman menyeronokkan dan selesa.
Pengunjung bukan sahaja mengharapkan pusat beli-belah berfungsi sebagai sebuah tempat jual-beli barangan, tetapi juga untuk bersosial dan berhibur. Ini menjadi sebab utama mengapa pusat membeli-belah kerap dikunjungi di negeri Selangor, kerana ia bukan sahaja menempatkan pelbagai kedai dan premis jualan, malah ia turut menjadi destinasi pilihan ramai bagi berhibur dan menjamu selera bersama teman-teman dan keluarga.
1) Barangan berjenama mewah
1 Utama Shopping Centre merupakan pusat membeli belah yang terbesar di Malaysia dan paling membanggakan, ianya termasuk dalam senarai 10 pusat beli-belah terbesar di dunia. 1 Utama Shopping Centre yang menggunakan slogan ”It’s All in One”, mempromosikan idea membeli-belah, hiburan dan medan selera ke aras yang baru.
1 Utama Shopping Centre telah memenangi pelbagai anugerah dengan mempunyai lebih daripada 700 buah kedai dengan keluasan 5.59 juta kaki persegi serta 7 tingkat keseluruhan. Ia turut menawarkan kemudahan sukan dalam-premis dan pusat hiburan – Camp5, PADI 5-star Diving Centre Sealantis, Rooftop Futsal Padang, Celebrity Fitness Gym dan Wangsa Bowl.
2) Pusat beli-belah dengan tema yang menakjubkan
Sunway Pyramid merupakan sebuah pusat beli-belah yang dibuka pada tahun 1997 dan mempunyai tema tersendiri. Dengan keluasan 4.3 juta kaki persegi, ianya telah menjadi satu empayar pusat beli-belah melibatkan produk dan jenama yang hebat.
Bentuknya yang diinspirasikan oleh struktur piramid dari negara Timur Tengah ini dapat dilihat secara jelas, ditambah pula dengan penonjolan ukiran singa yang besar seakan-akan melindungi pintu masuk utamanya. Selain itu, terdapat juga senibina berbentuk kubah di Orange Atrium dan Blue Atrium.
Pusat beli-belah bertema seterusnya ialah Central i-City yang terletak di Shah Alam. Dengan pelan dan struktur kedai yang teratur, tidak sukar untuk mencari premis kegemaran anda di sini. Dengan konsep seni-reka taman, persekitarannya turut menyegarkan. Para pengunjung bukan sahaja boleh membeli-belah, malah mereka dan keluarga juga dapat menikmati persembahan pancuran air yang mengujakan!
3) ‘Menyelam’ barang lokal!
Selangor menawarkan pasaran borong yang luas dan berkembang sehingga saat ini. Pembekal yang menawarkan produk tempatan dan import memberikan peluang kepada pemborong untuk membeli secara pukal, malah ianya juga lebih menjimatkan.
Pusat borong yang terkenal di Selangor, GM Klang Wholesale City terletak di bahagian selatan Klang menawarkan jualan dan pembelian secara borong dengan pelbagai pembekal barangan mempunyai premis jualan di sini. Pengunjung juga boleh ‘menyelam’ atau cuci mata di lebih daripada 2,500 kedai yang menjual pelbagai jenis produk, semuanya di bawah satu bumbung.
4) Jalan-Jalan di Uptown
Uptown di pusat bandar atau pasar malam urban sangat popular kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong domestik. Hal ini kerana ianya melambangkan cara hidup masyarakat di Malaysia. Uptown telah wujud sekian lama dan kunjungan ke sini telah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan rakyat tempatan.
Kewujudan pasar malam di banyak pusat bandar ini membolehkan semua penduduk mahupun pengunjung untuk menikmati kepelbagaian dari segi barang runcit, makanan dan pakaian pada harga yang berpatutan.
Terdapat pelbagai pilihan pasar malam urban yang menjadi tumpuan orang ramai di Selangor termasuklah Uptown Shah Alam, Uptown Kota Damansara, Uptown Jalan Reko dan Uptown Puchong. Uptown Puchong mempunyai kelebihan kerana ianya menawarkan pelbagai jenis makanan yang sering didapati terjual di pinggir jalan atau lebih dikenali sebagai “street food”.
5) Lokasi Instagrammable
Tamarind Square mempunyai konsep perkampungan urban di mana ianya melambangkan orang awam dari pelbagai latar belakang yang menikmati kehidupan dari pelbagai aspek. Di sini merupakan tempat di mana aspek seni dan budaya bertembung dan bergabung dengan perdagangan.
Pengunjung dapat menikmati suasana yang tenang dengan adanya hiasan yang menampakkan seolah-oleh kewujudannya telah lama. Ditambah dengan elemen alam semula jadi yang digunakan untuk menghidupkan lagi suasana harmoni di dalam kehidupan urban, Tamarind Square juga menjadi tempat menarik bagi pasangan pengantin untuk menjalankan sesi fotografi oleh kerana reka bentuknya yang sangat Instagramable.
6) Mesra pengguna
Kekecewaan yang dirasai oleh para ibu dan wanita apabila masuk ke pusat beli-belah dan mengalami kesulitan dengan tempat letak kereta yang tidak mencukupi adalah masalah sebenar. Tambahan lagi, jika pusat beli-belah kurang menyediakan kemudahan buat para ibu yang datang bersama anak kecil.
Starling Mall menawarkan kemudahan yang mesra-keluarga seperti bilik persalinan bayi dan ianya juga menjaminkan tahap privasi yang maksimum. Manakala, Paradigm Mall, Petaling Jaya yang mempunyai 300 premis di enam tingkat dengan keluasan 700,000 kaki persegi pastinya memberikan sebuah pengalaman beli-belah yang mengujakan. Dibina sesuai untuk golongan muda dan berkeluarga, pusat beli-belah ini juga menawarkan pelbagai kemudahan seperti bilik persalinan bayi; lengkap dengan mesin air sejuk dan panas, alas katil untuk menukar lampin bayi, serta bilik air bersambung.
IOI Mall Puchong pula mempunyai empat tingkat kedai dengan reka bentuk mendatar dan merangkumi lebih daripada 3,000 tempat letak kereta. Ia sesuai untuk pengunjung bersama keluarga tidak kira usia.
7) Barangan berjenama dengan potongan harga
Mitsui Outlet Park, KLIA Sepang merupakan salah sebuah pusat beli-belah yang wajib anda singgah untuk berbelanja. Kedudukannya hanya 6 kilometer dari KLIA dan KLIA2. Ia membawa konsep factory outlet yang menawarkan pelbagai jenis jenama mahupun barangan mewah dengan potongan harga yang sangat menarik.
Walaupun hanya menawarkan produk off-seasoned, namun ianya masih berkualiti dan yang paling penting, harganya jauh lebih murah daripada harga pasaran.
8) Hub fesyen muslimah
Penggemar fesyen muslimah boleh berkunjung ke beberapa hub fesyen muslimah seperti di Seksyen 7, Shah Alam dan Bandar Baru Bangi untuk mendapatkan pakaian muslimah yang sesuai dengan pelbagai acara dengan harga yang berpatutan.
SACC Mall, Shah Alam dibina dengan elemen tarikan yang tersendiri. Dengan tiga tingkat yang dipenuhi oleh premis jualan, SACC Mall menawarkan pengalaman beli-belah yang sesuai untuk seisi keluarga. Turut dikenali sebagi sebuah hub fesyen muslimah; SACC Mall menawarkan pengalaman beli-belah dengan penuh kemudahan, ditambah pula dengan pelbagai pilihan outlet F&B yang pasti menambat hati.
Dunia perniagaan membangun dengan pesat namun pusat beli-belah tetap memainkan peranan penting terutama di kawasan bandar di Selangor. Selaras dengan Kempen Tourism Selangor; “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu”; keselesaan dan keselamatan pengunjung pusat beli-belah yang telah dikongsikan di sini adalah satu aspek yang diberikan penekanan.
Oleh itu, setiap pengunjung diingatkan untuk mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan jarak sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan para pengunjung terjamin.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.