Selalunya apabila bercuti ramai yang memilih untuk menginap di Georgetown kerana lebih mudah untuk meneroka kedai-kedai makan popular. Bagi yang suka menikmati pantai, Batu Ferringhi sentiasa dekat di hati.
Namun, bagi yang sudah acap kali ke Penang dan sekadar mahu berehat santai, mungkin anda boleh mencuba kawasan lain untuk bermalam. Lebih-lebih lagi jika ada hotel yang baru dibuka.
Di Ayer Itam, HARRIS Hotel & Conventions Sunshine Penang muncul sebagai pilihan yang agak menarik. Bukan sahaja kerana ia hotel baharu, tetapi kerana inilah hotel pertama di bawah rangkaian HARRIS yang dibawa masuk ke Malaysia oleh The Ascott Limited. Hotel ini dibuka pada Julai 2026, sekali gus memperkenalkan jenama HARRIS buat pertama kali kepada pasaran tempatan.
Bagi mereka yang tidak begitu gemar bersesak di Georgetown, lokasi di Ayer Itam ini sebenarnya boleh menjadi satu alternatif yang menyenangkan.
Menginap di Ayer Itam, tetapi Penang masih di depan mata
Ayer Itam mungkin tidak mempunyai suasana bandar lama seperti Georgetown, tetapi itu juga yang membuatkan pengalaman menginap di sini terasa sedikit berbeza.
HARRIS Sunshine Penang berada dalam kompleks Sunshine Central, dengan akses terus kepada pusat beli-belah serta pelbagai kemudahan harian.
Jadi, kalau tiba-tiba teringat mahu mencari sesuatu untuk dibawa pulang, perlukan barangan penjagaan diri, mahu mencari tempat makan atau sekadar mahu keluar mencari kopi, tidak perlu merancang perjalanan yang panjang. Semuanya ada berdekatan.
Pada masa yang sama, lokasi ini masih praktikal untuk meneroka tarikan sekitar Pulau Pinang. Bukit Bendera dan Kek Lok Si misalnya berada dalam kawasan Ayer Itam, manakala perjalanan ke kawasan Georgetown masih boleh dilakukan apabila mahu menikmati sisi klasik Pulau Pinang.
Pendek kata, ia memberikan pilihan untuk keluar menikmati Pulau Pinang apabila mahu dan kembali ke kawasan yang lebih tenang untuk menghabiskan sisa-sisa hari.
284 bilik dengan karakter HARRIS yang tersendiri
Sebagai hotel pertama HARRIS di Malaysia, antara perkara yang menarik perhatian ialah bagaimana identiti jenama ini diterjemahkan ke dalam ruang penginapan.
Hotel ini mempunyai 284 bilik dan suite, dengan reka bentuk yang ceria dan kontemporari, selari dengan karakter HARRIS yang lebih santai dan mesra. Warna jingga dan putih mendominasi hiasan dalaman bilik.
Untuk penginapan berdua, HARRIS Room King dan HARRIS Room Twin masing-masing berkeluasan sekitar 24 meter persegi. Kedua-duanya direka sebagai ruang yang ringkas tetapi selesa, lengkap dengan katil yang nyaman, Wi-Fi berkelajuan tinggi, televisyen pintar dan bilik mandi dengan pancuran air.
Jika mahukan ruang yang lebih luas, HARRIS Suite King menawarkan keluasan sekitar 48 meter persegi dengan ruang lounge berasingan. Jadi, anda mempunyai sedikit ruang untuk berehat, bekerja atau bermalasan di atas katil.
Untuk keluarga pula, terdapat HARRIS Family Suite yang mempunyai dua bilik tidur serta ruang kecil yang direka untuk kanak-kanak. Jadi, pilihan bilik di sini bukan sekadar berdasarkan jumlah tetamu, tetapi juga jenis perjalanan yang dirancang.







Bila hotel sendiri sudah cukup untuk memperlahankan langkah
Selepas seharian melawat tempat-tempat menarik, mungkin boleh pulang ke hotel sedikit awal untuk berendam di kolam renang luaran bagi menyegarkan badan. Selain itu, boleh juga singgah ke gim. Ini khusus untuk mereka yang mahu mengekalkan rutin senaman ketika bercuti.
Untuk menjamu selera, hotel ini sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Hanya ada satu lokasi selera yang boleh anda cuba iaitu, HARRIS Bistro. Di sinilah tempatnya untuk menikmati bufet sarapan pagi. Manakala hidangan makan tengahari dan malam boleh dipesan secara ala-carte.
Bagaimanapun, ini bukanlah kekurangan, sebaliknya ia sudah cukup untuk memulakan hari. Pagi boleh dimulakan dengan kopi dan sarapan, kemudian tiba masanya untuk keluar makan-makan di sekitar bandar.
Nasi kandar, mi udang, pasembor, char kuey teow, mi sotong, Laksa Penang tersedia menanti. Jadi, tak perlu risau HARRIS Bistro sudah cukup untuk ‘melayani’ tetamu.
Bagi yang sudah biasa dengan kesibukan Georgetown, HARRIS Hotel & Conventions Sunshine Penang menawarkan satu lagi cara untuk menikmati Pulau Pinang. Menginap sedikit jauh pusat bandar, tetapi masih cukup dekat untuk menikmati apa yang menarik tentang pulau ini.

