Pantai Timur sering digambarkan menerusi keindahan pantainya, kehijauan hutan hujan dan rentak kehidupan yang lebih santai. Namun, keunikan wilayah ini turut terserlah menerusi pelbagai hidangan tempatan.
Dengan adanya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memudahkan perjalanan dari Lembah Klang menuju ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, semakin banyak peluang terbuka untuk menikmati aneka juadah yang mencerminkan keunikan setiap negeri. Sempena Hari Makanan Sedunia pada 16 Oktober, jom kenali beberapa hidangan tempatan yang wajib dicuba sepanjang perjalanan!
Pahang: Patin Tempoyak dan Puding Diraja
Daripada hidangan warisan sungai kepada manisan diraja


Tidak banyak hidangan yang begitu sinonim dengan Pahang seperti ikan patin masak tempoyak. Ikan air tawar ini dimasak dalam kuah tempoyak yang pekat dan beraroma, dengan rasa masam tersendiri daripada isi durian yang diperam. Gabungan rasa lemak, masam dan harum ini menghasilkan hidangan yang cukup istimewa, apatah lagi apabila kuahnya meresap ke dalam isi ikan patin yang lembut.
Hidangan ini sering dikaitkan dengan Temerloh, yang digelar ‘bandar patin’, kerana ikan patin sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya makanan masyarakat setempat. Cara terbaik menikmatinya? Padankan dengan nasi panas dan ulam-ulaman ringkas, kemudian nikmati setiap suapan tanpa terburu-buru.
Bagi penggemar manisan, cubalah Puding Diraja dari Pekan, bandar diraja Pahang. Asalnya disediakan untuk santapan keluarga diraja, pencuci mulut ini menampilkan pisang keemasan bersama prun, ceri dan kacang gajus, dilengkapi kuah kastard yang lembut dan berkrim. Manis, kaya rasa dan berwarna-warni, Puding Diraja cukup sempurna untuk menemani waktu minum petang.
Terengganu: Nasi Dagang dan Keropok Lekor
Hidangan utama yang mengenyangkan dan kudapan wajib Pantai Timur


Diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut yang dimasak bersama santan, nasi dagang harum, mengenyangkan dan cukup sinonim dengan Terengganu. Secara tradisi, ia dihidangkan bersama gulai ikan tongkol yang kaya rasa, acar dan sambal, menghasilkan kombinasi rasa lemak, pedas dan masam yang seimbang.
Namanya sering dikaitkan dengan pedagang dan pengembara yang membawa nasi ini ketika menempuh perjalanan jauh. Sama ada dinikmati sebagai sarapan atau hidangan pada waktu lain, nasi dagang merupakan pilihan yang sesuai untuk mengenali budaya makanan masyarakat pesisir Terengganu.
Kembara cita rasa di Terengganu pula tidak lengkap tanpa keropok lekor. Diperbuat daripada isi ikan dan tepung sagu, keropok lekor boleh dinikmati dalam dua cara – direbus untuk tekstur yang kenyal atau digoreng untuk hasil yang rangup. Mudah dikongsi dan dinikmati ketika dalam perjalanan, keropok lekor sememangnya kudapan yang sesuai menemani pengembaraan merentasi Pantai Timur.
Kelantan: Nasi Kerabu, Ayam Percik dan Kuih Akok
Warna, cita rasa dan kemanisan yang mencerminkan keunikan Kelantan


Setibanya di Kelantan, mulakan dengan nasi kerabu, hidangan terkenal negeri ini yang cukup mudah dikenali menerusi nasi berwarna biru, disajikan bersama herba segar, ulam-ulaman, kelapa parut, budu serta pilihan daging atau ikan.
Untuk melengkapkan hidangan, nikmati ayam percik, iaitu ayam yang dipanggang di atas arang sambil disapu berulang kali dengan kuah berasaskan santan yang harum. Ayam percik Kelantan terkenal dengan rasanya yang lebih manis dan berlemak, menjadikannya padanan yang sesuai dengan ulam-ulaman segar serta cita rasa kaya nasi kerabu.
Sebagai penutup, cubalah kuih akok, manisan tradisional yang lembut dan harum, diperbuat daripada telur, santan dan gula melaka. Dibakar dalam acuan kecil, kuih ini mempunyai permukaan keemasan yang berkedut serta tekstur yang kaya dan lembut seperti kastard. Dengan rasa manis yang memikat, kuih akok menjadi penutup sempurna untuk melengkapkan kembara cita rasa Kelantan.
Fasa 1 ECRL yang menghubungkan Gombak dengan Kota Bharu dijangka mula beroperasi pada Disember ini, sekali gus memendekkan perjalanan dari Lembah Klang ke Kelantan kepada kurang daripada empat jam. Dengan akses yang lebih mudah, pengembara boleh mengenali masyarakat setempat, menyelami tradisi dan menikmati cita rasa yang mencerminkan keunikan Pahang, Terengganu dan Kelantan — satu hidangan demi satu hidangan.
Foto kredit : @che_nom & @mmdessertbymmcatering

