Jika anda salah seorang daripada mereka yang sanggup merancang percutian semata-mata untuk merasai pengalaman budaya yang unik, pastikan anda tanda tarikh 24 hingga 26 Julai 2026 dalam kalendar sekarang.

Festival kebudayaan ikonik negara, Citrawarna bakal kembali untuk edisi 2026. Festival ini bakal menghidupkan suasana di Dataran Merdeka dengan pelbagai persembahan, warna-warni tradisi dan pengalaman budaya yang sukar ditemui di tempat lain.

Berlangsung sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), acara tahunan yang dinanti-nantikan ini tampil dengan tema ‘Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa’, mengangkat keunikan budaya Malaysia yang terbentuk daripada pelbagai kaum, etnik dan tradisi yang hidup harmoni sejak sekian lama.

Bagi pengunjung luar Kuala Lumpur, Citrawarna bukan sekadar festival untuk ditonton, sebaliknya peluang terbaik untuk merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia dalam satu lokasi.

Selama tiga hari, Dataran Merdeka akan berubah menjadi pentas terbuka yang menghimpunkan seni persembahan, makanan tradisional, hasil kraf tangan dan pelbagai aktiviti interaktif yang mencerminkan identiti sebenar negara ini.

Antara tarikan utama yang bakal mencuri perhatian ialah Citra Perarakan (Colours of Parade), sebuah perarakan budaya berskala besar yang menggabungkan muzik, tarian dan elemen penceritaan daripada kontinjen seluruh negara.

Segmen ini dijangka menjadi acara paling dinanti-nantikan apabila ratusan penghibur berkumpul dalam satu persembahan mega yang meraikan warisan dan perpaduan rakyat Malaysia.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh meneroka Citra Rasa (Colours of Flavour) yang mengetengahkan kekayaan gastronomi tempatan menerusi pelbagai hidangan tradisional dari seluruh negara.

Daripada sajian Melayu, Cina, India hinggalah makanan etnik Sabah dan Sarawak, pengalaman kulinari yang ditawarkan mampu menjadi alasan tersendiri untuk berkunjung ke festival ini.

Mereka yang gemar mengenali budaya dengan lebih dekat pula boleh meluangkan masa di Citra Budaya (Colours of Culture), yang menampilkan persembahan tradisional dan aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Sementara itu, Citra Seni (Colours of Art) membuka peluang kepada pengunjung menyaksikan demonstrasi seni secara langsung serta melihat sendiri hasil kraf tangan tempatan yang dihasilkan oleh penggiat industri kreatif.

Kemuncak Citrawarna 2026 dijadual berlangsung pada 25 Julai menerusi Citra Perarakan, yang bakal mengubah Dataran Merdeka menjadi lautan warna, muzik dan tarian. Acara ini bukan sahaja menjadi simbol perpaduan negara, malah menawarkan pengalaman visual yang cukup memukau buat pencinta budaya dan fotografi.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Citrawarna atau Colours of Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memperkenalkan warisan seni, budaya dan keindahan negara kepada pelawat tempatan serta antarabangsa. Tahun ini, penganjurannya dijangka menjadi antara acara paling signifikan dalam kalendar pelancongan negara bersempena Visit Malaysia 2026.

Bagi mereka yang sedang mencari alasan untuk bercuti ke Kuala Lumpur pada Julai nanti, Citrawarna 2026 mungkin jawapannya. Dalam satu hujung minggu, pengunjung berpeluang mengelilingi Malaysia tanpa perlu meninggalkan ibu kota. Nikmati budaya, makanan, seni dan tradisi dari seluruh pelosok negara dalam satu sambutan yang penuh warna-warni.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah