Pelancong yang merancang percutian ke Vietnam kini mempunyai satu lagi pilihan penginapan di kawasan pesisir Cam Ranh apabila Meliá Serenity Cam Ranh Beach Resort rasmi dibuka pada 1 Oktober 2026.
Terletak di Bai Dai Beach, resort ini berada di kawasan pantai sepanjang kira-kira 10 kilometer antara Cam Ranh dan Nha Trang. Lokasinya juga sekitar 10 minit dari Cam Ranh International Airport.
Meliá Serenity Cam Ranh mengangkat konsep all-inclusive dengan fokus kepada keluarga, kumpulan berbilang generasi serta pasangan yang mahukan percutian pantai dalam satu kawasan resort.
Dalam fasa pertama pembukaannya, sebanyak 265 penginapan tersedia daripada keseluruhan 802 bilik, suite, pool villa dan pavilion yang akan ditawarkan resort berkenaan.

Pilihan penginapan termasuk Pavilion berkonsep terbuka serta Pool Villa tiga, empat dan lima bilik yang dilengkapi kolam peribadi. Beberapa vila turut mempunyai kemudahan hiburan seperti PlayStation, permainan papan, karaoke dan permainan bola tampar kolam.
Bagi keluarga yang membawa anak-anak, resort ini menyediakan KIDSDOM dan TEENS CLUB untuk tetamu sehingga usia 17 tahun, selain Watersplash Pool bertemakan bot.
Resort berkenaan turut mempunyai beberapa kolam renang, termasuk kolam keluarga bergaya lagun seluas 1,194 meter persegi dan kolam infiniti berbentuk bulan sabit berkeluasan 990 meter persegi yang menghadap pantai.




Lapan Pilihan Lokasi Selera
Konsep all-inclusive di Meliá Serenity Cam Ranh merangkumi hidangan dan minuman terpilih di restoran serta bar dalam kawasan resort.
Sebanyak lapan venue makanan dan minuman dibuka dalam fasa pertama. Mosaico menyediakan hidangan Vietnam, Asia dan Barat, manakala Cape Nao memberi tumpuan kepada masakan Sepanyol dan Mediterranean.
Canalla pula mengetengahkan hidangan Mexico, sementara Breeza menyajikan daging dan makanan laut yang dimasak secara flame-grilled dalam suasana tepi pantai.
Pilihan lain termasuk Elyxr untuk kopi dan pastri, Gaia untuk minuman di tepi kolam, Dolcelato yang menawarkan aiskrim buatan sendiri serta Hanryu, sebuah venue di atas bumbung yang menampilkan makanan berinspirasikan Korea dan koktel.
Tetamu yang mahu meluangkan masa untuk kesejahteraan diri pula boleh mendapatkan rawatan di YHI Spa. Resort ini turut mempunyai pusat kecergasan serta gelanggang tenis dan pickleball.
Turut Menerima Tetamu Dengan Haiwan Peliharaan
Satu lagi ciri yang diketengahkan ialah konsep Pet-Friendly by Meliá yang membolehkan tetamu membawa anjing dan kucing ketika menginap.
Kemudahan untuk haiwan peliharaan termasuk welcome pack, katil, mangkuk makanan, makanan ringan dan mainan, selain kawasan khas untuk haiwan di tepi pantai.
Untuk pengalaman yang lebih eksklusif, The Level menyediakan kemudahan seperti daftar masuk dan daftar keluar khusus, The Level Lounge dengan minuman ringan serta koktel petang dan The Level Pool.
Kadar penginapan all-inclusive di Meliá Serenity Cam Ranh bermula daripada AS$270 semalam untuk dua dewasa, termasuk cukai dan caj perkhidmatan.
Pembukaan resort ini merupakan sebahagian daripada perkembangan berterusan Meliá Hotels International di Vietnam, khususnya dalam destinasi pelancongan pantai yang sedang berkembang.


