Kalau percutian ke Jepun masih belum ada dalam perancangan tahun ini, jangan risau. Bermula sekarang hingga 2 Ogos 2026, anda masih boleh menikmati suasana negara Matahari Terbit tanpa perlu meninggalkan Kuala Lumpur.

Menerusi Japan Festival 2026, tiga pusat beli-belah di bawah Pavilion Malls iaitu Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara Heights tampil dengan konsep yang berbeza, masing-masing menawarkan pengalaman unik yang diinspirasikan daripada budaya Jepun.

Sama ada anda peminat anime, ingin merasai kemeriahan festival matsuri atau sekadar mahu bergambar di bawah dekorasi sakura yang memukau, semuanya boleh dilakukan dalam satu festival.

Di Pavilion Kuala Lumpur, tumpuan diberikan kepada sambutan ulang tahun ke-15 Tokyo Street menerusi tema ‘Journey to Tokyo’ yang berlangsung dari 10 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Festival kali ini menampilkan kemunculan watak ikonik Astro Boy, sekali gus menjadikannya destinasi wajib dikunjungi oleh peminat anime dan budaya pop Jepun.

Selain menyertai Astro Boy Stamp Rally dan sesi Meet & Greet, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai aktiviti tradisional seperti bengkel origami serta pengalaman memakai yukata secara percuma pada hujung minggu.

Ditambah pula dengan promosi menarik di kedai-kedai Tokyo Street, ia menawarkan pengalaman seolah-olah berjalan di sebuah kawasan membeli-belah di Jepun.

Berbeza pula di Pavilion Bukit Jalil, suasananya lebih menyerupai sebuah matsuri, iaitu festival tradisional Jepun yang cukup meriah. Bertemakan ‘Konnichiwa Japan – Together, Here’, festival ini berlangsung dari 1 Julai hingga 2 Ogos 2026 dengan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan Jepun, meneroka Matcha Corner, melihat pameran bonsai, mencuba permainan tradisional Kingyo Scooping serta membeli pelbagai produk dan kraf tangan bertemakan Jepun.

Kemuncak festival berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos menerusi Pavilion Matsuri 2026, yang menampilkan persembahan kebudayaan, cosplay, anime, demonstrasi makanan Jepun dan pelbagai aktiviti interaktif yang menghidupkan suasana festival sebenar di Jepun.

Lebih menarik, pengunjung yang berbelanja juga berpeluang memenangi pakej percutian ke Jepun untuk dua orang, menjadikan kunjungan ke festival ini lebih bermakna.

Bagi mereka yang menggemari suasana lebih santai dan estetik, Pavilion Damansara Heights menawarkan pengalaman berbeza menerusi tema ‘Neko Neko Matsuri’.

Inspirasi daripada musim bunga di Jepun diterjemahkan melalui dekorasi taman Zen, pokok sakura dan karakter Maneki Neko yang menghiasi ruang utama pusat beli-belah itu.

Tarikan paling dinanti ialah Hanafubuki Sakura Experience, di mana kelopak sakura akan berguguran pada setiap hujung minggu bermula 11 Julai hingga 2 Ogos 2026, sekali gus mencipta suasana romantik dan cukup Instagrammable.

Pengunjung juga boleh menyewa yukata untuk bergambar, menyertai bengkel ikebana dan matcha, selain membeli pelbagai snek, buku dan cenderamata Jepun.

Walaupun membawa tema yang sama, ketiga-tiga Pavilion Malls menawarkan pengalaman yang cukup berbeza.

Pavilion Kuala Lumpur sesuai untuk peminat anime dan budaya pop, Pavilion Bukit Jalil pula menjadi destinasi terbaik untuk merasai kemeriahan festival matsuri, manakala Pavilion Damansara Heights menawarkan suasana lebih tenang dengan keindahan sakura dan seni tradisional Jepun.

Jadi, jika anda sedang mencari idea aktiviti hujung minggu bersama keluarga atau rakan-rakan, Japan Festival 2026 sememangnya antara acara yang tidak patut dilepaskan. Tanpa perlu menaiki kapal terbang, anda masih boleh menikmati sedikit pengalaman Jepun di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah