Pemenang anugerah The Emerging Womenswear Designer of The Year 2023 di Kuala Lumpur Fashion Award 2023, Arunsayfulldesiree sekali lagi menghangatkan pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2024 (KLFW 2024) dengan koleksi mewah bertemakan Golden Hour.
Sebanyak 48 rekaan akan diketengahkan Arunsayfulldesiree, di mana 12 daripadanya diciptakan khusus buat jenama barangan kemas Poh Kong, manakala 36 rekaan pula adalah hadiah istimewa buat penggemar jenama fesyen berkenaan sempena KLFW.
Tema sculpture menjadi pilihan Arunsayfulldesiree khusus untuk koleksi Poh Kong yang menggabungkan perhiasan emas bersama setiap satu persalinan rekaannya.
Manakala untuk koleksi sempena KLFW 2024 pula, Arunsayfulldesiree menampilkan tema alam semula jadi yang mengetengahkan elemen tanah, haiwan dan bunga.
Nah! Apabila kedua-duanya digabungkan, maka melahirkan tema yang satu iaitu Golden Hour.
KLFW 2024 merupakan koleksi termewah yang pernah direalisasikan Arunsayfulldesire dan dalam masa yang sama memberi nafas baru serta bersifat inovatif.
Kemewahannya terletak pada potongan, perincian dan pemilihan fabrik yang dilukis dan dicetak
Arunsayfulldesiree sendiri.
“Teknik-teknik yang kami tampilkan pada koleksi kali, ini akan membuka mata industri fesyen tanah air tentang betapa teknikalnya Arunsayfulldesiree.
“Malah seperti yang sedia maklum, setiap koleksi kami di awal pembabitan lagi adalah berkenaan alam semula jadi. Jadi kami masih mahu meletakkan DNA alam semula jadi ini dalam jenama kami.
“Cabaran yang kami hadapi ialah dari segi pembuatan pakaian, teknik jahit, potong pola dan penyusunan. Di mana kami ingin memastikan koleksi yang kami tampilkan kali ini kekal relevan dengan pakaian seharian,” kata tiga gabungan pereka fesyen ini.
Arunsayfulldesiree merupakan sebuah jenama tempatan yang terdiri daripada 3 pereka muda yang sangat berbakat besar iaitu Arun Mateen berusia 29 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang manakala Saiful Izham yang berusia 37 tahun yang berasal dari Kulim, Kedah dan terbaru Desiree,24 kacukan Indonesia dan Switzerland.
Rekaan adi busana mereka sentiasa tidak mengecewakan kerana mempunyai citarasa mewah, unik dan lain daripada yang lain.
Rekaan Arunsayfulldesiree cukup dikenali dengan potongan dan pemakaian material yang mewah serta perincian mahupun sulaman manik yang mewah.