Lady of Leisure, sebuah jenama fesyen mewah terbaharu yang meraikan kecantikan dan kuasa wanita hari ini mengumumkan pelancaran koleksi pertamanya, Cinta.
Koleksi ini diinspirasikan oleh makna perkataan ‘cinta’ itu sendiri bagi mencerminkan falsafah jenama ini dalam mereka pakaian yang membangkitkan perasaan dan mengilhami wanita agar menzahirkan keunikan mereka. Koleksi ini menampilkan pelbagai fabrik mewah rekaan yang terjalin indah, kesemuanya buatan tangan di Malaysia.
“Saya ingin menampilkan koleksi yang dapat merakamkan intipati cinta dalam pelbagai bentuknya,” kata Dada Herzog Al-Attas, pengasas Lady of Leisure. “Koleksi Cinta ini merupakan perjalanan melalui pelbagai peringkat percintaan, dari permulaan percikan bibit-bibit cinta sehinggalah kepada ikatan kasih sayang yang mendalam dan abadi, yang menopang sesebuah hubungan.”
Perjalanan Dada sepanjang mereka koleksi Cinta ini merupakan bukti air tangan penuh cinta, menghasilkan pelbagai pakaian yang bukan sahaja meraikan pelbagai peringkat percintaan tetapi juga mencerminkan perkembangan peribadi dan nyala rasa beliau terhadap warisan budayanya.
Selain ilham yang diperoleh daripada pengalaman peribadi, nenek Dada juga antara figura yang memberikan impak besar dalam membentuk nilai dan perspektif dirinya. Nenek beliau dianggap sebagai wanita hebat dan luar biasa yang menjadi inspirasi untuk rekaan dalam koleksi Cinta ini.
Setiap helai pakaian dihasilkan dengan penuh teliti, mencerminkan keanggunan dan kesantunan yang dicontohinya. Kekuatan yang dimiliki nenek beliau, terutama kebaikannya diterjemahkan melalui koleksi ini. Pakaian yang melambangkan belas ihsan, empati, dan kasih sayang menjadi pelengkap kepada semua rekaannya.
Tujuannya adalah untuk mencipta aksesori yang menggabungkan kuasa cinta dan mengingatkan pemakainya tentang kepentingan kebaikan dan kemesraan dalam interaksi sesama manusia. Selain itu, ajaran nenek beliau tentang peri pentingnya berpakaian molek dan sayang akan diri sendiri menjadi tumpuan hala tuju koleksi Cinta ini.
Semua rekaan ini mencerminkan ekspresi diri, menggalakkan pemakainya untuk mendakap identiti diri dan meraikan gaya mereka yang unik. Rekaan ini akan menjadi peringatan agar kita memberi keutamaan swacinta, serta memberi kuasa kepada individu untuk berasa yakin, cantik, dan berhak mendapat kasih sayang dalam semua aspek kehidupan mereka.
Dengan mendedikasikan koleksi ini kepada nenek beliau yang luar biasa, Lady of Leisure bermatlamat mencipta pengalaman bermakna dan peribadi kepada pemakainya. Ini akan menjadi penghormatan kepada nilai yang dihargai oleh nenek Dada dan diwarisi oleh beliau, menjadi wasilah untuk membawa kebijaksanaan, kasih sayang, dan panduan neneknya bersama, ke mana-mana sahaja beliau pergi.
Tentang Koleksi Cinta
Koleksi ini dibahagikan kepada tiga bab: Passion, Intimacy, dan Devotion. Bab Passion menampilkan pakaian pakaian yang berani dan seksi, sesuai untuk merakamkan percikan bibit-bibit cinta pertama.
Bab Intimacy menampilkan pakaian-pakaian yang lebih sensual dan intim, sesuai untuk meraikan keintiman hubungan. Bab Devotion menampilkan pakaian-pakaian yang bersifat tak lapuk dek zaman dan anggun, sesuai untuk manzahirkan ikatan cinta yang berkekalan.
Selain penerokaan cinta, hala tuju koleksi Cinta ini juga menekankan nilai kesetiaan. Koleksi Cinta memaparkan konsep kesetiaan melalui rekaan yang menggabung-jalin simbol-simbol hubungan dan kesetiaan, seperti motif-motif corak memanca atau unsur jalinan yang mewakili ikatan yang tidak dapat diputuskan antara individu.
Selain kesetiaan, koleksi Cinta juga menekankan kepentingan mengenang leluhur seseorang. Ia memperakukan kepentingan untuk kita terus berhubung dengan warisan, budaya, dan asal-usul. Koleksi ini menampilkan unsur- unsur yang menjadi homaj kepada seni tradisional, kraftangan, atau simbol-simbol peribumi, mengingatkan pemakainya untuk mendakap identiti budaya mereka dan mengiktiraf pengaruhnya terhadap perjalanan cinta mereka.
“Dengan menekankan kesetiaan dan mengenang leluhur individu, koleksi Cinta bermatlamat mereka koleksi berpandukan cinta melangkaui permukaan,” kata Dada.
“Ia menggalakkan pemakainya untuk memperdalam hubungan mereka dengan orang tersayang dengan memupuk kepercayaan dan pemahaman. Selain itu, ia juga mengingatkan individu untuk menghormati nenek moyang dan warisan mereka, mencari ilham dan hikmah daripada leluhur mereka semasa mereka meneroka kompleksiti cinta dan hubungan.”
Setiap rekaan dalam koleksi Cinta ini direka untuk membina ikatan yang mendalam dan memupuk penghargaan yang lebih besar terhadap sejarah peribadi seseorang dan cinta yang membentuk kehidupan kita. Koleksi ini kini boleh didapati di laman sesawang Lady of Leisure dan di butik-butik terpilih di seluruh dunia.