Menu
Check-In

Loligo Resort Hua Hin Ideal Untuk Percutian Keluarga

Hua Hin, Thailand, destinasi percutian ini memang benar tidak sepopular Bangkok, Phuket, Krabi mahupun Chiang Mai. Tetapi tahukah anda bahawa destinasi percutian pantai ini cukup menarik untuk dijelajahi, lebih-lebih lagi bagi mereka suka dengan sejarah, kebudayaan serta suasana santai.

Terletak kira-kira 3 jam setengah pemanduan dari kota Bangkok, Hua Hin sebenarnya destinasi percutian hujung minggu kegemaran keluarga Diraja Thailand, maupun penduduk Bangkok. Di malam hari, meski pun tidak ‘sehidup’ Bangkok, Hua Hin menjadi lebih hidup dengan adanya pasar malam atau night market yang menawarkan pelbagai produk tempatan. Tidak ketinggalan, deretan restoran yang menyajikan makanan laut terbaik.

Tak kenal, maka tak cinta, jadi adalah lebih baik anda nikmati sendiri keindahan dan keunikkan Hua Hin daripada mendengar cakap-cakap teman atau apa yang dikongsi di ruang digital. Maklumlah, setiap orang punya pandangan sendiri. Bagi yang sedang berkira-kira untuk membawa keluarga bercuti, mungkin boleh mempertimbangkan Hua Hin sebagai lokasi percutian seterusnya. Habiskan masa semalam dua dengan membeli-belah di kota Bangkok dan selepas itu teruskan pengembaraan bersama insan-insan tersayang di tepian pantai.

Loligo Resort Hua Hin merupakan pilihan ideal untuk anda sekeluarga. Ini kerana resort yang baru dibuka ini punya ciri istimewa untuk tetamu berkeluarga. Menyediakan kemudahan day care di Kid’s Studio, ia memberi peluang untuk anda menghabiskan masa privasi di samping suami tanpa gangguan anak-anak. Jadi bolehlah berdua-duaan menikmati hidangan makanan tengahari atau melakukan rawatan spa bersama-sama. Paling tidak, boleh berjalan-jalan di tepian pantai seperti ketika dilamun cinta dahulu. Pasti romantis!

Berkonsepkan persinggahan tepian pantai, Loligo Resort menampilkan dekorasi segar, nyaman dan ceria. Kombinasi rona putih dan turquoise di setiap kamar membuatkan jiwa terbuai dengan suasana percutian mendamaikan. Terinspirasi daripada suasana perkampungan nelayan, segenap ruang di resort ini dihiasi dengan item-item dekorasi yang mengaitkan kepada perkampungan nelayan. Namun, ia disulam dengan ciri-ciri moden dengan sedikit elemen seni.

Menawarkan 47 buah kamar luas yang terdiri daripada Deluxe Balcony Room, Mini Suite Pool/Garden Balcony dan Mini Suite Sea & Horizon Balcony, setiap bilik mampu memuatkan sehingga lima orang individu dalam satu-satu masa.

Jika anda pasangan yang mempunyai anak (bawah 12 tahun) tidak perlu membayar caj tambahan, ianya percuma. Cukup sekadar mengambil satu kamar kerana setiap jenis kamar mempunyai pilihan 1 unit King Bed atau 2 unit Queen Bed. Memang sangat mesra keluarga. Jika bercuti bersama kawan-kawan pun, ia masih berbaloi-baloi! Sharing is caring!

Bermalasan di kolam renang atau nikmati keindahan pantai

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di resort ini. Pilihlah yang mana keluarga anda gemari. Jika ingin menikmati keindahan pantai, panjangkan langkah ke pantai yang terletak hanya 100 meter dari hotel.

Sebagai info, pantai di sini spot terbaik untuk melihat sunrise. Cuma kena bangun awal pagi untuk menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan itu. Sesekali apa salahnya mengajak anak-anak melakukan perkara yang jarang-jarang dibuat. Pasti mereka turut teruja.

Selesai bersarapan bolehlah menghabiskan masa dengan berenang di kolam renang atau berendam di jakuzi luar. Jika punya bajet lebih, boleh juga ke Blue Coral Spa untuk memanjakan diri. Dibuka dari jam 10.00 pagi hingga jam 10 malam, spa ini menawarkan rawatan yang memberi tumpuan pada teknik penyembuhan sebenar Thailand yang terdiri daripada pembersihan badan, urutan tradisional dan juga rawatan yang menggunakan herba panas. Harga rawatan bermula daripada THB900 untuk rawatan selama 60 minit.

Untuk makluman lanjut mengenai resort ini, anda boleh melayari laman sesawang rasmi www.loligoresort.com

Hua Hin Beach

Pantai ini terletak berhampiran pekan Hua Hin, iaitu kira-kira 15 minit menaiki teksi atau Tuk-Tuk. Pantai Hua Hin tidak kurang hebatnya. Pemandangannya cantik dan banyak aktiviti pantai dan laut yang boleh dilakukan. Membina istana pasir bersama anak-anak pasti menyeronokkan. Selain itu, boleh juga bermain layang-layang, menaiki jet ski, banana boat dan parasailing.

No Comments

    Leave a Reply