Salah satu rantaian hotel jenama antarabangsa iaitu 25hours Hotel yang tersohor di Eropah kini tiba di Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi hartanah pertama jenama hotel tersebut di rantau Asia.

Terkenal dengan senireka hotelnya yang ranggi dan unik, cawangan di Jakarta juga menerapkan unsur kemewahan dalam konsep rekaannya.

Terinspirasi dari kawasan asal Senopati di Jakarta yang dikenali dengan suasana taman yang hijau, 25hours Hotel Jakarta yang juga diberi gelaran The Oddbird teguh memuncak di daerah komersial yang diberi nama District 8.

Berpayungkan jenama antarabangsa tersohor hotel berunsur mewah dan unik ini mewujudkan suasana terbaik dan selesa buat setiap pengunjungnya.

Terletak di kawasan popular SCBD Jakarta, ia mudah ditujui kerana berada di kawasan yang sangat strategik. Berada di kawasan yang dipenuhi peginapan berprestij serta pusat perniagaan komersial, ia juga berdekatan dengan pusat membeli-belah terkini Ashta yang memang tersohor dalam mempromosikan aneka jenama barangan tempatan berkualiti.

Jaraknya dari lapangan terbang ke penginapan ini juga tidak terlalu jauh. Jangka masa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta ke hotel ini juga tidak sampai 45 minit. Stesen MRT Senayan juga terletak sekitar 15 minit perjalanan dari hotel buat pejalan kaki.

Seperti semua hotel 25hours di dunia, ia menampilkan kelainan sendiri kerana senireka dalamannya yang sangat berbeza dengan hotel-hotel lain di pusat kota. Ia juga berdekatan beberapa pangsapuri mewah yang lain.

Berbekalkan aneka unit bilik serta pangsapuri yang dihias secara artistik dengan sedikit sentuhan retro yang mewah, hotel dan pangsapuri di sini turut menawarkan pemandangan kota yang menakjubkan dari jendela bilik di tingkat atas.

Tersedia pelbagai pilihan penginapan di sini dengan dua konsep utama iatu Garden yang bernuansa taman nan hijau atau Urban yang kukuh dengan unsur kota masa kini.

Persis hotel-hotel 25hours di dunia, setiap hotel menekankan unsur tempatan dan mempertaruhkan jenama-jenama tempatan terbaik dalam bentuk kelengkapan hotel. Ini termasuk sabun dan kelengkapan mandi, makanan dan juga hiasan di dalam bilik.

Dari piring hitam penyanyi tempatan, sehinggalah barang-barang lain, semuanya serba unik di setiap bilik hotel.

Istimewa juga, kesemua makanan dan minuman dalam mini-bar setiap bilik adalah percuma untuk semua tamu yang bermalam di sini.

Semestinya hotel ini juga dilengkapi dengan beberapa tempat makan seperti Copa untuk tujuan sarapan yang menawarkan hidangan makanan tempatan dan antarabangsa yang lazat, serta Cabana buat menikmati minuman dan santapan ringan di kolam renang.

Ia juga menampilkan The Oddbird Bar di sebelah lobi untuk minuman dan kudapan sambil bersantai.

Tidak ketinggalan, penginapan mewah ini turut dilengkapi dengan sebuah kolam renang, gimnasium, bilik-bilik khas buat mesyuarat serta seminar selain perkhidmatan pelanggan yang luar biasa.

Walau bagaimanapun, senireka dalaman hotel ini sememangnya menjadi taruhan utama kerana konsepnya yang sangat unik, ceria dan berwarna-warni.

Setiap penjuru hotel wajar diabadikan dalam bentuk visual, apatah lagi di zaman media sosial hari ini.

Dengan harga yang sangat berpatutan serta perkhidmatan berkelas antarabangsa yang mewah, 25hours Hotel, The Oddbird di Jakarta wajar menjadi pilihan tamu yang ingin merasai kemewahan dan berlokasi strategik.

Kami yakin 25 jam di hotel ini juga tidak akan cukup untuk anda merakam segalanya kerana anda pasti mahu datang lagi!

Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang mereka di 25hours Hotel Jakarta, The Oddbird.

Share:
, , , , , , , , , , , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah