Apabila Disember semakin dekat, nama seperti Langkawi, Penang dan Melaka biasanya antara destinasi yang mula masuk dalam senarai percutian rakyat Malaysia.
Namun, data carian penginapan terbaharu daripada Agoda menunjukkan ada beberapa destinasi lain yang semakin mendapat perhatian untuk percutian hujung tahun ini.
Selain destinasi kegemaran yang terus mendominasi carian, Kuantan, Kuala Terengganu dan Sibu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu.
Ia mungkin memberi sedikit gambaran tentang bagaimana selera rakyat Malaysia untuk bercuti turut berubah daripada sekadar mengejar destinasi popular kepada tempat yang lebih santai, mudah dirancang dan menawarkan pengalaman berbeza.
Menurut data Agoda, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Melaka masih menjadi enam destinasi domestik paling banyak dicari untuk penginapan pada Disember 2026.
Tetapi di sebalik nama-nama besar itu, beberapa destinasi lain mula mencuri perhatian.
Kuantan Punya Permintaan Naik 111 Peratus

Antara yang paling ketara ialah Kuantan. Walaupun berada di kedudukan ke-13 dalam senarai Agoda, carian penginapan untuk Kuantan meningkat sebanyak 111 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tidak sukar untuk melihat mengapa bandar pesisir ini semakin menarik. Kuantan membolehkan pelancong menggabungkan masa di pantai dengan makanan tempatan dan kemudahan bandar, tanpa perlu menyusun keseluruhan percutian seperti sebuah jadual perjalanan yang padat.
Ia mungkin sesuai untuk mereka yang mahu bercuti dengan lebih fleksibel — ada masa untuk keluar, tetapi masih ada ruang untuk tidak melakukan apa-apa.
Kuala Terengganu Pun Makin Popular

Satu lagi destinasi yang menunjukkan peningkatan lebih besar ialah Kuala Terengganu, dengan carian meningkat sebanyak 114 peratus.
Menurut Agoda, bandar ini naik daripada kedudukan ke-18 kepada ke-14 dalam senarai 20 destinasi domestik teratas. Malah, peningkatan kedudukan ini merupakan yang terbesar dalam kalangan destinasi yang tersenarai dalam kelompok tersebut bagi kedua-dua tahun.
Tarikannya pula bukan sekadar soal tempat untuk bergambar.
Kuala Terengganu menawarkan pengalaman yang lebih perlahan, daripada kraf tradisional dan makanan Pantai Timur hinggalah suasana pesisir yang boleh diterokai tanpa perlu mengejar terlalu banyak lokasi dalam satu hari.
Sibu Mula Masuk Radar

Di Malaysia Timur, Kota Kinabalu dan Kuching masih kekal antara pilihan utama rakyat Malaysia untuk Disember. Tetapi Sibu kini turut mula mendapat perhatian.
Data Agoda menunjukkan Sibu berada di kedudukan ke-19 dalam senarai 20 destinasi domestik teratas, dengan carian meningkat 78 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bandar ini menawarkan pengalaman yang sedikit berbeza, meneroka pasar, menikmati makanan tempatan dan bersiar-siar di tepi sungai sambil melihat kehidupan seharian penduduk setempat.
Mungkin itu juga yang sedang dicari oleh sebahagian pelancong hari ini.
Selepas melalui tahun yang panjang, percutian tidak semestinya perlu jauh atau terlalu penuh dengan aktiviti. Kadangkala, tempat yang mudah dicapai, mudah dirancang dan mempunyai suasana berbeza daripada rutin harian sudah memadai.
Data Agoda ini berdasarkan carian penginapan yang dibuat oleh pelancong Malaysia antara 1 Mei hingga 31 Julai 2026 bagi perjalanan domestik pada 4 hingga 31 Disember 2026, berbanding tempoh sama pada 2025.
Jadi, kalau Langkawi masih menjadi pilihan, itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Cuma untuk Disember ini, mungkin sudah tiba masanya melihat sedikit ke arah lain, kerana Kuantan, Kuala Terengganu dan Sibu nampaknya sedang menunggu giliran untuk ditemui.

