Dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri, Tourism Selangor mengorak langkah dengan menjalin kerjasama strategik bersama syarikat swasta bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.
Majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi ini berlangsung ketika Pameran Tahun Melawat Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bersempena dengan Pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor 2025.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, serta barisan kepimpinan negeri.
Empat syarikat terkemuka iaitu SONY Malaysia, Batik Air Malaysia, GL Play by Gamuda Land dan Alpha IVF & Women Specialist telah menandatangani memorandum tersebut, menandakan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan negeri.

Menurut YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, “Tahun Melawat Selangor 2025 adalah satu inisiatif penting dalam memperkukuh kedudukan negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau ini.
Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, kami yakin bahawa sektor pelancongan negeri akan terus berkembang, memberi impak positif kepada ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada komuniti setempat.”
Dalam majlis ini, pelbagai acara menarik telah diadakan, termasuk gimik promosi peletakan pelekat rasmi VSY 2025 pada kenderaan Roadshow Tahun Melawat Selangor 2025.
Inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik antara Selangor Concierge Association, Prestige Lane Adventure Sdn Bhd, AVIS, dan Persatuan Pacuan 4 Roda Selangor, sebagai usaha memperluaskan promosi kempen secara lebih efektif.
Selain itu, sebanyak RM 200,000 telah diperuntukkan di bawah Geran Persatuan Pelancongan untuk disalurkan kepada 20 persatuan pelancongan, sebagai sokongan kepada usaha mereka dalam memperkembangkan industri ini.
Serentak dengan itu, Pengiktirafan Produk Pelancongan 2024 turut diberikan kepada 20 penerima sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam memperkayakan pengalaman pelancongan di Selangor.
Lebih daripada 30 pemain industri, termasuk pengusaha hotel, taman tema, dan hospital di Selangor, turut menyertai pameran khas sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Pameran ini menawarkan pelbagai promosi eksklusif dan diskaun menarik sehingga 50 peratus untuk para pengunjung, berlangsung selama tiga hari, bermula 19 Februari hingga 21 Februari 2025.
YB Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan turut menyatakan bahawa, “Pameran Tahun Melawat Selangor 2025 sempena Sidang DUN ini adalah langkah strategik untuk memperkenalkan kempen ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri serta seluruh rakyat.
Dengan sokongan kerajaan dan sektor swasta, kerajaan negeri akan memastikan pengalaman melancong di Selangor terus dipertingkatkan, menjadikan negeri ini sebagai destinasi wajib dikunjungi pada tahun 2025 dan seterusnya.”

“Selangor menyasarkan untuk menerima 8 juta pelancong sepanjang Tahun Melawat Selangor 2025 dengan nilai transaksi ekonomi dijangka mencecah RM11.7 bilion.
Kerjasama dengan syarikat swasta akan membantu memperluaskan promosi dan menambah baik pengalaman pelancongan dalam pelbagai sektor termasuk eko-pelancongan, pelancongan kesihatan, taman tema serta hospitaliti”, tambah beliau lagi.