Terletak di pantai timur Sabah dan menghadap Laut Sulu yang luas, Sandakan bukan sekadar sebuah bandar pesisir yang kaya dengan sejarah, malah menjadi antara pintu masuk penting kepada dunia hidupan liar Borneo.

Pernah dikenali sebagai “Hong Kong of the East”, Sandakan mempunyai kisah sejarah yang panjang. Antaranya ialah sejarah pahit ketika pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua apabila bandar ini menjadi lokasi tahanan perang. Peristiwa “Sandakan Death Marches” menyaksikan hampir 2,400 askar British dan Australia terkorban dalam perjalanan sejauh kira-kira 160 kilometer dari Sandakan ke Ranau.

Namun, di sebalik sejarahnya yang panjang, Sandakan hari ini lebih dikenali sebagai destinasi yang membuka peluang kepada pengembara untuk menyaksikan sendiri kekayaan biodiversiti Sabah.

Bagi pencinta alam dan hidupan liar, perjalanan ke Sandakan tidak lengkap tanpa meneroka kawasan Sepilok dan Sungai Kinabatangan. Di sinilah pengembara berpeluang melihat beberapa spesies ikonik Borneo seperti orang utan, monyet proboscis, buaya serta Gajah Borneo atau lebih dikenali sebagai Gajah Pygmy.

Untuk pengalaman sebegini, pemilihan penginapan juga memainkan peranan penting. Salah satu pilihan yang ‘perfect’ untuk dijadikan pangkalan untuk meneroka Sandakan dan kawasan sekitarnya ialah, The Ormond Sandakan.

Hotel yang terletak di tengah bandar ini bagaikan jendela untuk pengembara  yang mahu mengintai dunia hidupan liar di Kinabatangan.

Mempunyai 299 bilik tetamu dan suite, The Ormond Sandakan menawarkan ruang penginapan yang direka dengan sentuhan budaya tempatan, selain pemandangan laut yang menjadi antara tarikan tersendiri hotel ini.

Bukan sekadar tempat untuk berehat selepas seharian mengembara, hotel ini turut menyediakan empat restoran dengan pilihan hidangan tempatan dan antarabangsa.

Pagi boleh dimulakan dengan sarapan di Rise yang menyediakan pelbagai pilihan makanan sebelum tetamu memulakan penerokaan di sekitar Sandakan.

Selepas puas menjelajah bandar, makan tengah hari pula boleh dinikmati di Pietro, restoran yang mengetengahkan hidangan berinspirasikan Mediterranean dengan penggunaan bahan-bahan tempatan, termasuk makanan laut segar yang diperoleh dari jeti nelayan berdekatan.

Bagi mereka yang gemar menikmati suasana senja, kolam renang hotel menjadi lokasi sesuai untuk berehat sambil menikmati makanan ringan dari Bayu. Sila datang  awal untuk dapatkan tempat duduk terbaik. Oh jangan lupa cuba pelbagai moktel istimewa mereka.

Menjelajah Dunia Hidupan Liar Sandakan

Antara sebab utama Sandakan menjadi pilihan pengembara ialah kedudukannya sebagai pintu masuk ke kawasan hidupan liar yang terkenal di Sabah.

Selain lawatan ke Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok dan Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo, perjalanan ke Sungai Kinabatangan merupakan antara pengalaman yang boleh dianggap sebagai wajib dalam itinerari.

Bagi tetamu The Ormond Sandakan, perjalanan sehari ke Kinabatangan boleh diatur melalui Sepilok Tropical Wildlife Adventure. Menyusuri Sungai Kinabatangan sambil mencari haiwan di habitat semula jadi mereka menawarkan pengalaman yang jauh berbeza daripada sekadar melihat hidupan liar di pusat konservasi.

Sepanjang perjalanan, pengunjung berpeluang melihat Gajah Borneo atau Gajah Pygmy, buaya yang berehat di tebing sungai dan monyet probosis yang bergayut di pepohon berhampiran sungai.

Pertemuan dengan haiwan-haiwan ini di habitat asal mereka menjadi antara pengalaman paling berharga sepanjang berada di Sandakan, terutama bagi mereka yang datang khusus untuk mengenali biodiversiti Borneo dengan lebih dekat.

Selepas seharian meneroka Kinabatangan, kembali ke hotel pastinya terasa lebih menyenangkan. Malam boleh diakhiri dengan makan malam di Rasa yang menyajikan pelbagai hidangan tradisi Sabah serta masakan Malaysia.

Sandakan mungkin pernah dikenali kerana sejarahnya yang panjang, namun kekayaan alam semula jadinya menjadikan bandar ini destinasi yang jauh lebih besar daripada sekadar persinggahan.

Dan untuk pengembara yang mahu menjadikan Sandakan sebagai titik permulaan untuk mengenali dunia hidupan liar Borneo, The Ormond Sandakan bukanlah sekadar tempat untuk bermalam.

Sebaliknya, ia adalah penginapan atau stesen untuk melengkapkan perjalanan. Daripada meneroka sejarah dan budaya Sandakan hinggalah menyusuri Sungai Kinabatangan mencari penghuni liar yang menjadi khazanah Sabah.

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah