Marriott Bonvoy dan Bukit Merah Orang Utan Island Foundation (BMOUIF) hari ini mengumumkan kerjasama strategik menerusi ‘A Story That Matters: Uniting Hospitality and Conservation for a Better Future’, sebuah kempen nasional yang menggabungkan sektor hospitaliti, pemuliharaan dan pendidikan bagi menyokong usaha melindungi spesies orang utan yang semakin terancam.

Berteraskan komitmen bersama dalam melindungi khazanah alam semula jadi Malaysia, Marriott Bonvoy dan BMOUIF berganding bahu untuk menjadikan pengalaman melancong sebagai platform yang menyumbang kepada usaha pemuliharaan. Melalui gabungan rangkaian hospitaliti Marriott Bonvoy dan pengalaman lebih dua dekad BMOUIF dalam usaha pemuliharaan orang utan, kerjasama ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kekayaan biodiversiti Malaysia serta menggalakkan lebih ramai pelancong untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pemuliharaan yang bermakna ini.

Teras utama kempen ini adalah kisah Aggy, seekor anak orang utan Borneo yang menjadi simbol kepada usaha pemuliharaan luar biasa yang dilaksanakan oleh BMOUIF. Kehilangan ibunya sejurus selepas dilahirkan, Aggy berjaya bertahan hasil dedikasi berterusan daripada pasukan veterinar dan penjaga yang memberikan penjagaan rapi sepanjang tempoh paling kritikal dalam hidupnya. Kini, Aggy telah berjaya diperkenalkan semula ke Pulau Orang Utan, di mana beliau diterima oleh seekor ibu angkat orang utan, satu pencapaian membanggakan yang terhasil melalui proses penjagaan dan pemulihan selama berbulan-bulan.

Melalui simbolik pengambilan angkat Aggy, kerjasama ini diharap dapat memberi inspirasi kepada para tetamu dan ahli Marriott Bonvoy untuk menyokong usaha berterusan BMOUIF dalam bidang pemuliharaan, rehabilitasi, penyelidikan dan pendidikan, sekali gus membantu menjamin masa depan yang lebih baik untuk spesies orang utan yang terancam.

Kempen ini turut menjadi sebahagian daripada Serve 360: Doing Good in Every Direction, platform kelestarian dan impak sosial Marriott International yang mencerminkan komitmen syarikat dalam mewujudkan impak positif kepada komuniti dan alam sekitar di setiap destinasi di mana ia beroperasi.

“Hospitaliti bukan sekadar tentang mewujudkan hubungan bermakna sesama manusia, tetapi juga dengan destinasi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kita,” kata George Varughese, Naib Presiden Pasaran – Malaysia, Marriott International. “Kerjasama bersama Bukit Merah Orang Utan Island Foundation mencerminkan komitmen Marriott Bonvoy untuk menjadikan pelancongan sebagai satu kuasa yang membawa kebaikan. Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada tetamu dan ahli kami untuk lebih menghargai khazanah alam semula jadi Malaysia serta menunjukkan bahawa setiap tindakan kecil mampu menyumbang kepada usaha melindunginya untuk generasi akan datang,”

Dari Pulau Orang Utan ke Hotel Marriott di Seluruh Malaysia

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, hotel-hotel Marriott Bonvoy di seluruh Malaysia akan memperkenalkan beberapa inisiatif kesedaran dan pengalaman kepada tetamu bagi memberi peluang kepada mereka memahami usaha pemuliharaan orang utan serta menyokong perjuangan ini.

Kempen ini turut menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk meneroka Pulau Orang Utan, salah satu destinasi hidupan liar unik di negara ini.

Antara inisiatif utama termasuk:

Kempen media sosial #AStoryThatMatters yang berkongsi kisah Aggy bagi meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap usaha pemuliharaan orang utan.

Kemudahan sumbangan melalui kod QR di hotel-hotel Marriott Bonvoy bagi membolehkan tetamu menyumbang secara terus kepada usaha pemuliharaan orang utan.

Kadar kemasukan eksklusif ke Pulau Orang Utan untuk ahli Marriott Bonvoy.

Sepanjang tempoh kempen berlangsung, tetamu juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di hotel-hotel Marriott Bonvoy terpilih yang menghubungkan mereka secara lebih dekat dengan usaha pemuliharaan orang utan.

Meneruskan Legasi Pemuliharaan Orang Utan

“Perjalanan Aggy mengingatkan kita bahawa setiap orang utan berhak diberikan peluang untuk terus hidup dan berkembang,” kata Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Mohamad, Pengerusi BMOUIF. “Selama lebih dua dekad, BMOUIF kekal komited dalam usaha pemuliharaan, rehabilitasi dan perlindungan orang utan yang terancam. Kami amat berbesar hati mengalu-alukan Marriott Bonvoy sebagai rakan strategik dalam usaha pemuliharaan ini dan percaya kolaborasi ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk memahami kepentingan melindungi khazanah alam semula jadi negara.”

“Kerjasama ini akan membolehkan kami mendekati lebih ramai masyarakat, meningkatkan penghargaan terhadap kekayaan biodiversiti Malaysia serta membuktikan bahawa usaha secara kolektif, walaupun kecil; mampu memberi impak besar dalam menjamin masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” kata beliau.

BMOUIF ditubuhkan atas visi dan sokongan tidak berbelah bahagi Allahyarham Tan Sri Datuk (Dr) Haji Mustapha Kamal, pengasas BMOUIF, yang sejak lebih dua dekad lalu menerajui usaha pemuliharaan orang utan, penyelidikan veterinar dan pendidikan alam sekitar sehingga menjadikan BMOUIF antara organisasi utama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada penjagaan dan pemuliharaan spesies orang utan terancam.

Hari ini, legasi tersebut diteruskan oleh Felina Tan Sri Datuk (Dr) Haji Mustapha Kamal, Pengerusi Eksekutif M K Land Holdings Berhad, yang terus menyokong usaha yayasan serta pembangunan ekosistem Bukit Merah secara menyeluruh. M K Land kekal komited menyokong inisiatif pemuliharaan dan pendidikan BMOUIF serta mengalu-alukan kerjasama bermakna bersama Marriott Bonvoy dalam memperkukuh kesedaran awam, menggalakkan pelancongan yang bertanggungjawab dan memastikan masa depan yang lebih lestari untuk orang utan di Malaysia.

Sejak tahun 2009, BMOUIF telah menerima lebih 17,000 pelajar menerusi program pendidikan serta menyokong lebih 430 pelatih dalam bidang perubatan veterinar dan biologi pemuliharaan. BMOUIF ini juga terus mempergiat usaha penyelidikan dan program rehabilitasi bagi memastikan kelangsungan spesies orang utan untuk generasi akan datang.

Bersama-sama, Marriott Bonvoy dan BMOUIF berharap kempen ‘A Story That Matters’ dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelancong untuk mengenali khazanah alam semula jadi Malaysia, di samping membuktikan bagaimana sektor hospitaliti dan pemuliharaan boleh bergerak seiring dalam menghasilkan impak berpanjangan kepada hidupan liar, komuniti tempatan serta generasi akan datang.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah