Persiapan sedang giat dijalankan bagi Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang dianjurkan bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Acara ini akan berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dan dijangka menarik kehadiran pengunjung yang tinggi di sekitar ibu negara.
Bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan pengurusan trafik yang teratur, langkah pengurusan trafik termasuk penutupan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat di sekitar kawasan Bukit Bintang bermula 22 April 2026.
Penutupan separa di sepanjang Jalan Bukit Bintang akan dilaksanakan dari 22 hingga 28 April 2026, iaitu antara 11.00 malam hingga 5.00 pagi pada hari bekerja dan 12.00 tengah malam hingga 7.00 pagi pada hujung minggu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan acara.
Seterusnya, dari 29 April hingga 2 Mei 2026, Jalan Bukit Bintang akan ditutup sepenuhnya sepanjang hari bagi melancarkan operasi acara sempena sambutan tersebut.
Sepanjang tempoh ini, kenderaan akan dilencongkan ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Jalan Imbi.



Orang ramai disarankan untuk menggunakan pengangkutan awam ketika ke pusat bandar. Perkhidmatan MRT, LRT dan Monorel akan menyokong peningkatan pergerakan penumpang sepanjang tempoh acara.
Pengunjung juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta mengambil kira tambahan masa perjalanan.

