Jika anda merancang percutian ke Cebu dan mencari hotel yang selesa dengan lokasi yang strategik, Fairfield by Marriott Cebu Mandaue City antara pilihan yang patut dipertimbangkan.

Kedudukannya di Mandaue City memudahkan perjalanan kerana berada di tengah-tengah antara Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu dan Cebu City. Sama ada baru mendarat atau ingin keluar meneroka bandar, perjalanan ke kedua-dua lokasi ini tidak mengambil masa yang lama.

Tiga hari dua malam di sini, saya dapati Fairfield by Marriott Cebu Mandaue City tidak bingit dengan deruan kenderaan walaupun ia terletak di jalan utama. Ruang dalamannya memberikan suasana santai dengan rekaan moden dan minimalis.

Ia bukan hotel yang terlalu mewah, tetapi cukup selesa untuk dijadikan tempat berehat selepas seharian berjalan di sekitar Cebu.

Dalam banyak-banyak ruangan yang ada di sini, sudah tentu saya suka pada biliknya. Saiz bilik cukup ideal untuk seorang atau dua orang tetamu tanpa terasa sempit. Susun aturnya praktikal dan kemas, menjadikan ruang lebih selesa untuk berehat atau melakukan sedikit kerja jika perlu.

Yang paling saya suka ialah katilnya. Tilam dan bantal yang empuk benar-benar membantu mendapatkan tidur yang lena selepas penat menjelajah. Kadang-kadang, perkara paling penting ketika bercuti bukanlah bilik yang terlalu besar, tetapi tempat tidur yang benar-benar selesa.

Dari segi kemudahan pula, hotel ini menyediakan kolam renang, pusat kecergasan yang dibuka 24 jam serta The Market, sebuah kedai serbaneka dalam hotel yang memudahkan tetamu mendapatkan makanan ringan, minuman atau barangan keperluan pada bila-bila masa.

Bagi pilihan makanan, saya ingin berkongsi sedikit perkara yang mungkin penting untuk sesetengah orang sebelum membuat keputusan untuk menginap di sini.

Hotel ini tidak menyediakan makanan halal. Namun, masih terdapat pilihan hidangan vegetarian dan makanan laut yang boleh dipilih sekiranya ingin menjamu selera di hotel.

Jika anda selesa dengan pilihan tersebut, ia mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi jika anda lebih gemar menikmati hidangan di restoran yang mempunyai pilihan halal, saya cadangkan makan di luar terlebih dahulu sebelum kembali ke hotel.

@travellahmy

Cebu city ni, attractions dia more to history. Ni antara tarikan yang kami singgah hari tu. Magellan’s Cross tu tak pergi pun takpe. Boleh pegi Temple of Leah (kami tak sempat) sbb building dia Roman Greek style. TOPS tu berbaloi sebab korang boleh tengok the whole city. If cuaca cantik, boleh tengok sunset. Caj masuk dengan shuttle dari city only 200 peso. Murah! #cebu #philippines #citytour #traveltiktok #traveladdict

♬ original sound – Marielle
Tarikan yang kurang 30 minit (luar waktu puncak) dari hotel.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan pengalaman menginap di Fairfield by Marriott Cebu Mandaue City. Lokasinya yang berhampiran lapangan terbang dan pusat bandar sememangnya memudahkan pergerakan sepanjang berada di Cebu. Ditambah pula dengan bilik yang selesa dan kemudahan yang lengkap, hotel ini sesuai untuk pelancong solo, pasangan mahupun mereka yang datang atas urusan kerja.

Jika anda mengutamakan keselesaan dan lokasi yang strategik, Fairfield by Marriott Cebu Mandaue City sememangnya pilihan yang berbaloi untuk dipertimbangkan.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah