Bagi ramai pelancong, lapangan terbang bukan sekadar tempat menunggu penerbangan, malah menjadi lokasi terakhir untuk membeli cenderamata, produk kecantikan atau coklat sebelum berlepas.

Menyedari trend itu, Eraman tampil dengan nafas baharu menerusi pembukaan semula Duty Free Emporium di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 yang kini menawarkan pengalaman membeli-belah lebih moden dan menyeluruh.

Terletak di kawasan pelepasan antarabangsa berhampiran Pintu P dan Q, ruang seluas hampir 1,200 meter persegi itu telah direka semula dengan susun atur yang lebih luas, kemas dan mesra pengunjung bagi memudahkan pelancong meneroka pelbagai pilihan produk bebas cukai sebelum menaiki pesawat.

Antara tarikan utama ialah koleksi jenama kecantikan dan wangian antarabangsa yang merangkumi nama-nama terkenal seperti Chanel, Lancôme, Gucci, Versace, BOSS, Calvin Klein, Carolina Herrera, Burberry, Coach dan Orchid.

Charlotte Tilbury serta NARS bakal menyertai barisan jenama premium dalam sedikit masa lagi, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pencinta produk kecantikan.

Peminat coklat juga pasti teruja dengan pilihan yang tersedia. Selain jenama antarabangsa seperti Lindt, Toblerone, Ferrero Rocher, Hershey’s dan Ritter Sport, penumpang juga boleh mendapatkan produk tempatan termasuk Beryl’s, Malsa, Sunshine Kingdom, Scentful, Danson, Choc O Time dan Fidani yang sesuai dijadikan buah tangan untuk keluarga serta rakan-rakan.

Bagi mereka yang gemar mengumpul minuman premium, ruang khas turut disediakan untuk pelbagai pilihan minuman berjenama antarabangsa, menjadikan emporium ini destinasi sehenti bagi keperluan membeli-belah sebelum berlepas.

Apa yang membezakan Duty Free Emporium yang baharu ini ialah kewujudan zon pengalaman interaktif yang memberikan nilai tambah kepada pengunjung.

Salah satu tarikan ialah The CHOYA Experience, yang memperkenalkan warisan penghasilan umeshu Jepun menggunakan buah premium Nanko ume.

Ruang ini turut mengetengahkan produk coklat tempatan seperti Malsa dan Scentful sebagai sebahagian daripada pengalaman membeli-belah yang lebih unik.

Bersempena kemeriahan musim kejohanan bola sepak dunia pula, sebuah sudut permainan foosball disediakan untuk memberi peluang kepada pelancong meluangkan masa bersama keluarga atau rakan sementara menunggu waktu berlepas.

Pendekatan ini menjadikan ruang membeli-belah bukan sekadar lokasi membeli barangan, malah sebahagian daripada pengalaman di lapangan terbang.

Transformasi Duty Free Emporium ini turut mencerminkan usaha Malaysia Airports menerusi Eraman untuk memperkukuhkan KLIA sebagai hab beli-belah bebas cukai bertaraf serantau.

Dengan gabungan jenama antarabangsa, produk tempatan dan elemen pengalaman interaktif, pelancong kini mempunyai lebih banyak sebab untuk tiba lebih awal di lapangan terbang dan menikmati masa sebelum penerbangan.

Bagi meraikan pembukaan semula ini, Eraman menawarkan promosi istimewa apabila pelanggan yang berbelanja minimum RM250 dalam satu resit layak menebus baucar membeli-belah bernilai RM20.

Promosi ini memberikan nilai tambah kepada pengembara yang ingin mendapatkan barangan kegemaran mereka sebelum berlepas.

Duty Free Emporium Eraman di KLIA Terminal 2 beroperasi 24 jam sehari, membolehkan pelancong menikmati pengalaman membeli-belah pada bila-bila masa tanpa mengira waktu penerbangan.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah