Ada sesuatu tentang Istanbul yang membuatkan kita ingin kembali lagi. Mungkin gabungan sejarah, budaya, seni bina dan kehidupan kotanya yang sentiasa meriah.
Namun bagi saya, pengalaman itu menjadi lebih istimewa kerana saya memilih untuk menginap di sebuah Airbnb yang terletak di kawasan Galata selama lima hari empat malam.
Sejujurnya, saya tidak boleh meminta lokasi yang lebih sempurna. Setiap pagi, saya hanya perlu melangkah keluar dari apartmen untuk menikmati suasana kejiranan Galata yang cukup hidup.
Deretan kafe yang memenuhi jalan-jalan kecil di sekitar bangunan membuatkan rutin mencari kopi pagi menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Ada kalanya saya sekadar duduk menikmati secawan kopi sambil memerhati penduduk tempatan memulakan hari mereka, sesuatu yang sukar dinikmati jika menginap di kawasan pelancongan yang terlalu sibuk.
Paling saya suka ialah kedudukannya yang begitu hampir dengan Galata Tower. Mercu tanda ikonik Istanbul itu seolah-olah menjadi teman sepanjang penginapan saya. Pada waktu petang, menara tersebut kelihatan cukup memukau apabila disimbahi cahaya matahari yang semakin menghilang.

Apabila malam menjelma, pencahayaan yang menerangi menara berusia ratusan tahun itu mencipta pemandangan yang benar-benar menawan. Setiap kali pulang ke apartmen selepas seharian berjalan, pemandangan Menara Galata yang bercahaya itu seakan-akan menyambut kepulangan saya.
Di dalam apartmen pula, suasananya moden, kemas dan selesa. Dekorasi yang minimalis tetapi bergaya membuatkan ruang tersebut terasa tenang untuk berehat selepas seharian meneroka Istanbul.
Saya juga suka dengan dapurnya yang lengkap. Walaupun saya bukanlah seorang yang memasak apabila bercuti, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh sediakan makanan lewat malam atau menikmati makanan yang dibeli dari pasar tempatan.
Kelebihan inilah yang menjadikan pengalaman itu terasa lebih dekat dengan kehidupan sebenar warga kota ini.

Satu lagi kelebihan besar ialah lokasinya yang membolehkan saya berjalan kaki ke kawasan Istiklal yang terkenal. Daripada membeli-belah, mencari makanan tempatan sehinggalah menikmati suasana jalanan yang sentiasa meriah, semuanya boleh dilakukan tanpa perlu bergantung kepada pengangkutan awam.
Namun, ada satu perkara yang tidak begitu menyeronokkan tentang apartment ini. Terletak di tingkat tiga dan ia tidak mempunyai lif. Saya sendiri hanya menyedarinya selepas tiba (gara-gara tak baca dengan teliti).
Akibatnya, saya perlu mengangkat beg seberat 18 kilogram menaiki tangga. Memang tak cukup nafas dibuatnya. Hahaha! Walaupun begitu, ia hanyalah perkara kecil berbanding keseluruhan pengalaman yang saya peroleh sepanjang menginap di sini.
Jika anda bercadang untuk ke Istanbul dan ingin merasai pengalaman tinggal di kawasan yang penuh karakter, dikelilingi kafe-kafe menarik, berada hanya beberapa langkah dari Galata Tower dan dalam jarak berjalan kaki ke Istiklal, penginapan ini sememangnya berbaloi untuk dipertimbangkan.
Bagi saya, ia bukan sekadar tempat untuk tidur. Ia menjadi sebahagian daripada pengalaman menikmati Istanbul itu sendiri. Boleh tempah ‘Best Galata tower view stylish 3BDR&2BTH’ di sini.

