Jika anda seorang yang sukakan bunga, suasana nyaman tanah tinggi dan aktiviti santai di hujung minggu, ini mungkin festival yang wajib masuk dalam senarai anda.
Resorts World Awana bakal menjadi lokasi kepada BUNGA 2026, festival orkid dan florikultur antarabangsa pertama yang akan berlangsung dari 3 hingga 7 Jun 2026 di Awana Village, Genting Highlands.
Apa yang menarik, acara ini bukan sekadar pameran bunga biasa. BUNGA 2026 digelar sebagai pameran bunga tertinggi di Malaysia dan bakal menghimpunkan pengusaha, pakar hibrid, pengumpul serta komuniti pencinta orkid dari seluruh Asia termasuk Thailand, Taiwan, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Pengunjung boleh melihat sendiri pelbagai spesies orkid yang unik, koleksi hibrid eksklusif serta dekorasi floral artistik yang memang cantik untuk bergambar.
Antara nama besar yang bakal menyertai festival ini termasuk Taipei Orchid Society dari Taiwan yang terkenal dengan orkid Phalaenopsis berkualiti tinggi, selain Chulee Orchid dari Thailand yang cukup dikenali dalam dunia pertandingan orkid antarabangsa.
Singapura pula akan diwakili oleh The Orchid Society of South East Asia (OSSEA), salah satu persatuan orkid paling berprestij di rantau ini.
Selain menikmati pameran utama, pengunjung juga boleh singgah ke ruang niaga botani yang menawarkan pelbagai produk berinspirasikan tumbuhan, dekorasi floral, hasil seni botani dan pelbagai spesies orkid untuk koleksi sendiri.
Pendek kata, memang syurga untuk pencinta tumbuhan dan mereka yang suka suasana estetik ala ‘garden lifestyle’.
Bukan Sekadar Tengok Bunga, Banyak Aktiviti Menarik Lain Menanti
BUNGA 2026 turut hadir dengan beberapa pengalaman menarik yang menjadikan festival ini lebih daripada sekadar acara melihat bunga.
Antaranya termasuk Bloom Beyond BUNGA di Eufloria Gardens & Sculpture Park yang menawarkan pengalaman imersif berkaitan dunia orkid dan alam semula jadi.
Bagi yang sukakan aktiviti outdoor, anda boleh cuba Wild Orchid Explorer bersama Genting Nature Adventures.
Aktiviti ini membawa peserta menyusuri laluan hutan tanah tinggi untuk mencari orkid liar dalam habitat semula jadi mereka.
Tidak cukup dengan itu, Orchadia pula bakal tampil dengan konsep gaya hidup botani premium yang menggabungkan suasana rumah hijau mewah, sajian berinspirasikan orkid, sesi hi-tea botani, bengkel eksklusif dan juga Rare Orchid Auction untuk peminat koleksi istimewa.
Tiket Serendah RM30, Siap Ada Pakej Staycation
Tiket masuk ke BUNGA 2026 dijual pada harga RM30, manakala pakej gabungan bersama Eufloria ditawarkan pada harga RM60.
Menariknya, setiap tiket turut hadir dengan RM10 kredit makanan yang boleh digunakan sepanjang festival berlangsung. Warga emas pula menikmati harga khas RM20 untuk pembelian walk-in.
Kalau nak lebih santai, pengunjung juga boleh memilih pakej staycation Bunga Bloomscape yang ditawarkan di beberapa hotel sekitar Resorts World Genting termasuk Resorts World Awana, First World Hotel, Genting SkyWorlds Hotel dan Highlands Hotel.
Harga penginapan bermula serendah RM81 semalam dan setiap pakej turut didatangkan dengan dua tiket masuk ke festival.
Dengan gabungan suasana sejuk Genting Highlands, ribuan bunga orkid cantik dan pelbagai aktiviti menarik, BUNGA 2026 nampaknya bakal menjadi antara festival bunga paling meriah di Malaysia.
Sesuai untuk percutian keluarga, percutian pendek ataupun sekadar cari tempat healing di hujung minggu.

