Tourism Selangor sebagai agensi promosi pelancongan rasmi Kerajaan Negeri Selangor, dengan kerjasama Pusat Membeli-Belah 1 Utama, telah menganjurkan Majlis Hi-Tea Bersama Media yang berlangsung di tarikan pelancongan terbaru, Secret Garden.

Acara ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Tourism Selangor dengan para pengamal media daripada pelbagai platform; media cetak, elektronik dan media baharu yang telah menjadi tulang belakang dalam mempromosikan pelancongan Negeri Selangor.  

Majlis ini menjadi simbol penghargaan kepada media yang selama lebih dua dekad telah membantu memperkenalkan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan unggul. Pusat Membeli-Belah 1 Utama, sebagai penaja lokasi, juga diperkenalkan sebagai antara destinasi pelancongan unik di negeri ini yang memaparkan pelbagai tarikan seperti Secret Garden, Windlab, Flowrider, Treetop dan banyak lagi.

Pelancaran Kempen Akses Media – Tahun Melawat Selangor 2025

Dalam majlis tersebut, Tourism Selangor juga mengumumkan pelancaran Kempen Akses Media, yang merupakan inisiatif khas yang memberi peluang eksklusif kepada pengamal media untuk menerokai destinasi pelancongan menarik di 9 daerah di Negeri Selangor.

Kempen ini merangkumi lawatan khas atau fam trip (familiarisation trip) ke lokasi-lokasi yang baru dan jarang diterokai, bertujuan memudahkan media dalam membuat liputan dan penceritaan yang lebih mendalam.  

“Kami percaya hubungan erat bersama pengamal- pengamal media adalah kunci kejayaan kepada kempen Tahun Melawat Selangor 2025. Melalui Kempen Akses Media ini, kami ingin menyediakan platform kepada pengamal- pengamal media untuk berkongsi pengalaman tentang keindahan Negeri Selangor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Visit Selangor Festival & Konsert Tahun Melawat Selangor 2025

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor juga  turut mengumumkan penganjuran Visit Selangor Festival & Konsert Tahun Melawat Selangor 2025, yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Disember 2024, di Setia City Park, Setia Alam.  

Festival bertemakan ‘Food, Leisure, and Music’ ini akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Tabung Khas Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir, Fun Walk, Festival Makanan, Pameran Pelancongan dan kawasan OOTD untuk para pengunjung.

Kemuncak acara ini adalah Konsert dan Pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025, yang bakal berlangsung pada 21 Disember 2024, menampilkan artis-artis popular tanah air. Tourism Selangor optimis mensasarkan 5,000 pengunjung, sepanjang 3 hari penganjuran festival tersebut. 

Negeri Selangor terus membuktikan Tahun 2025 dan seterusnya untuk Tahun Melawat Selangor, yang sentiasa menjadi destinasi pelancongan utama di Malaysia, dengan gabungan warisan budaya, keindahan semula jadi, dan pengalaman pelancongan urban yang menawarkan pelbagai segmentasi pelancongan.

Tourism Selangor yakin bahawa hubungan erat bersama pengamal- pengamal media akan menjadi pemangkin kepada kejayaan kempen Tahun Melawat Selangor 2025, yang dijangka membawa manfaat besar kepada sektor pelancongan Negeri Selangor

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah