Selepas ratusan purnama menanti,akhirnya Melly Goeslaw kembali menghangatkan pentas Axiata Arena, Kuala Lumpur. Malam 31 Mei bergema dengan sorakan, tawa dan air mata apabila Melly Goeslaw, komposer genius dan penyanyi legenda Indonesia, kembali mengubat kerinduan ribuan peminat setianya menerusi Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite
Malam penuh magis ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi merupakan penutup kepada trilogi persembahan yang telah memahat kenangan dalam jiwa peminat sejak tahun 2023. Bermula dengan Back to School, diteruskan dengan Malam Graduasi pada 2024, dan akhirnya disempurnakan dengan gaya dan emosi menerusi Prom Nite, sebuah kemuncak yang menggabungkan muzik, nostalgia dan sambutan penuh warna
Berpegang kepada tema “Prom Nite” peminat tampil dengan busana glamor dan anggun, seakan melangkah ke malam penuh impian yang sarat dengan kenangan cinta, persahabatan dan lagu-lagu ikonik. Setiap persembahan Melly menyentuh jiwa, membakar semula rasa cinta kepada karya-karya yang pernah menjadi jalur suara hidup ramai
Travellah menyenaraikan lima momen paling menarik sepanjang konsert ini yang menjadi sorotan utama malam penuh magis tersebut
- Momen Putus Cinta di Pentas Utama
Dalam kejutan yang menyentuh emosi, Melly memanggil tiga wanita yang pernah melalui perpisahan cinta untuk tampil di atas pentas dan berkongsi kisah mereka. Ia bukan sekadar sesi luahan hati, tetapi juga disertakan dengan bukti hubungan yang telah berakhir daripada mesej terakhir, foto bekas kekasih, hingga kenangan yang memilukan.

Suasana Axiata Arena menjadi hening, kemudian mengalir dengan empati apabila para wanita ini menceritakan kisah mereka dengan penuh kejujuran. Melly dengan gaya sinis dan penuh kasih menyuntik semangat dengan berkata bahawa bekas kekasih mereka pasti akan menyesal kerana melepaskan wanita sehebat mereka. Kejutan berterusan apabila kemunculan seorang aktor lelaki terkenal Indonesia di pentas menghidupkan suasana dengan elemen dramatik yang menyentuh dan menghiburkan
- Nicholas Saputra dan Syair Penuh Nostalgia

Detik yang paling ditunggu akhirnya tiba apabila Nicholas Saputra si Rangga yang mendiam seribu bahasa hadir di atas pentas mendendangkan syair Ada Apa Dengan Cinta karya Rako Prijanto. Walaupun hanya muncul sekitar lima minit, tatapan matanya yang tajam dan senyuman budiman cukup untuk mencairkan ribuan hati. Aura Rangga yang ikonik membanjiri seluruh arena dengan nostalgia filem yang telah menjadi sebahagian memori kolektif peminat
- Persembahan Lagu-Lagu Tempatan Ikonik
Sebagai tanda penghormatan kepada peminat Malaysia, Melly mempersembahkan sebuah medley lagu-lagu tempatan yang membangkitkan rasa bangga dan terharu. Dengan penuh penghayatan, beliau menyanyikan Janji Manis nyanyian asal Aishah, Betapa Ku Cinta Padamu (Dato’ Sri Siti Nurhaliza) dan Isabella (Search), membuktikan penghargaan beliau terhadap kekayaan muzik Malaysia
- Jiwa Malaysia dalam Suara Melly


Sorakan gemuruh memenuhi Axiata Arena sepanjang medley ini berlangsung. Persembahan Melly tidak hanya membuktikan pengaruh muziknya di rantau ini, tetapi juga kepekaan dan cintanya terhadap budaya peminat tempatan. Setiap bait lagu disampaikan dengan penuh rasa, menjadikan momen ini antara yang paling diingati malam itu
- Sebuah Penutup Sebuah Permulaan

Meskipun ini adalah konsert terakhir dalam siri Ada Apa Dengan Melly…? ia langsung tidak terasa seperti satu penamatan. Sebaliknya, ia membuka lembaran baru untuk kenangan dan hubungan istimewa antara Melly dan peminatnya. Seperti kata Melly sendiri, Prom Nite bukan penamat tetapi permulaan kepada memori-memori baru yang akan terus dikenang
Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite bukan sahaja menjadi penutup trilogi yang sempurna tetapi juga sebuah peristiwa budaya yang akan terus dikenang sebagai malam muzik yang menyatukan Indonesia dan Malaysia.
GAMBAR OLEH: BANGSAWAN PICTURES