Park Hyatt Kuala Lumpur kini telah dibuka secara rasmi. Pembukaan hotel yang amat dinanti-nantikan ini menandakan kemasukan rasmi jenama hotel mewah itu ke Malaysia buat julung kalinya.

Terletak di aras 75 hingga 114 di bangunan ikonik, Merdeka 118, pencakar langit tertinggi di Asia Pasifik, ia menawarkan pengalaman penginapan serba mewah yang tiada tandingan dengan pemandangan panoramik ibu kota yang memukau.

“Jenama hotel Park Hyatt mencatatkan satu lagi pencapaian dengan penambahan hotel pertamanya di Malaysia ke dalam rangkaian 50 hartanah miliknya di peringkat global.”

“Pelancaran Park Hyatt Kuala Lumpur turut menandakan kejayaan penting buat jenama ini di Asia Tenggara dan di seluruh dunia,” ujar Presiden Kumpulan Hyatt Asia Pasifik, David Udell.

“Pelancaran ini membuka lembaran baharu bagi pertumbuhan jenama Hyatt di rantau ini, dengan tiga lokasi hotel baharu dibuka di Kuala Lumpur dalam tempoh setahun, satu pengembangan yang mencerminkan kepelbagaian penawaran kami,” tambah beliau lagi.

Lambang kemewahan, warisan & gaya hidup bertaraf dunia

Park Hyatt Kuala Lumpur menawarkan pengalaman penginapan mewah yang menggabungkan seni bina moden dengan kehalusan budaya tempatan.

Dengan 252 bilik dan suite yang menampilkan rekaan tingkap dari lantai ke siling, tetamu dapat menikmati pemandangan ibu kota yang menakjubkan dalam suasana penuh elegan dan ketenangan.

Setiap ruang diserikan dengan sentuhan rekaan dalaman daripada G.A Group yang terinspirasi daripada rumah kampung Melayu dan warisan Peranakan, lengkap dengan ukiran batik canting, tekstur anyaman, serta koleksi seni eksklusif oleh Artlink.

Lawatan khas ke tapak-tapak bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Muzium Tekstil turut ditawarkan kepada tetamu yang berminat untuk meneroka Kuala Lumpur, memberikan dimensi budaya yang mendalam kepada penginapan mereka.

Destinasi kulinari hotel ini juga tidak kurang hebatnya. Dari Merdeka Grill yang menampilkan daging premium dan makanan laut hasil tempatan, ke Park Lounge yang menghidupkan semula resipi tradisional Malaysia, sehinggalah ke Cacao Mixology & Chocolate, bar pertama di Kuala Lumpur bertemakan coklat, pengalaman gastronomi di sini sememangnya tiada tandingan.

Di tingkat 99, ruang kesihatan dan kecergasan menampilkan studio yoga yang luas, pusat kecergasan serba canggih lengkap dengan peralatan kardio  Siri Integrity+ yang premium daripada Life Fitness, suite rawatan peribadi lengkap dengan bilik persalinan, ruang istirahat dengan mandian wap aromaterapi dan sudut garam Himalaya.

Tidak ketinggalan kolam menyegarkan, dan kolam infiniti sepanjang 30 meter dengan pemandangan kota yang mengasyikkan.

Sebagai satu-satunya spa di Asia Tenggara yang menawarkan terapi sirkadian, sebuah pengalaman yang direka khusus bagi mengharmonikan kitaran tenaga tetamu, membuatkan tubuh badan berasa lebih segar di waktu siang dan tidur lebih lena di waktu malam.

Untuk acara eksklusif, Park Hyatt Kuala Lumpur menyediakan ruang mesyuarat dan majlis serba lengkap dengan teknologi canggih dan pemandangan bandar yang memukau, sesuai untuk segala jenis pertemuan profesional mahupun peribadi.

Park Hyatt Kuala Lumpur bukan sekadar destinasi penginapan, ia adalah pengalaman gaya hidup yang merangkumi kemewahan, budaya dan ketenangan — menjadikannya simbol kebanggaan baharu di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.parkhyattkualalumpur.com

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah