Sebagai rakyat Malaysia, sedikit malu rasanya apabila menyedari selama ini tidak begitu mengenali Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu. Resort yang menginjak usia ke 30 tahun ini rupa-rupanya menyimpan begitu banyak pengalaman sehingga terbit satu persoalan, mengapa baru sekarang saya sampai ke sini?

Empat hari tiga malam ternyata cukup untuk membuatkan saya jatuh cinta. Cinta pandang pertama.

Semuanya bermula sebaik sahaja tiba di lobi. Sapaan mesra petugas hotel memberikan sambutan yang cukup menyenangkan, sebelum langkah diteruskan menuju ke bilik yang bakal menjadi ruang peribadi sepanjang penginapan.

Sebaik pintu Ocean Wing Junior Suite Sea View dibuka, keterujaan semakin terasa. Dengan keluasan 90 meter persegi, suite ini lapang dan selesa, lengkap dengan katil bersaiz king yang sempurna untuk merehatkan tubuh selepas perjalanan yang panjang.

Mini bar yang dipenuhi pilihan minuman ringan turut tersedia, bersama manisan tempatan seperti bepang kacang dan biskut jem nanas.  Sentuhan kecil sebegini  menjadikan pengalaman menginap terasa lebih dekat dengan identiti tempatan.

Namun, tarikan yang paling mencuri perhatian ialah balkoni peribadi dengan tab mandian terbuka.

Dari sini, Pantai Dalit terbentang luas di kejauhan. Bayangkan berendam dalam suasana terbuka sambil ditemani udara laut dan pemandangan pantai yang membiru di hadapan mata.

Inilah kemewahan yang diperlukan untuk sebuah percutian idaman. Ruang, privasi dan pemandangan yang memberi peluang untuk benar-benar berhenti seketika.

Ketika Pantai Menyambut Senja

Sudah tentu, percutian di Shangri-La Rasa Ria tidak lengkap tanpa menikmati Pantai Dalit.

Hari pertama di sini, saya membawa langkah ke pantai ketika petang mula beralih ke senja. Angin bayu menyapa lembut, sementara hamparan pasir dan laut terbuka menjadi latar yang cukup sempurna untuk mengakhiri hari.

Apabila matahari mula menghilang di ufuk barat, langit berubah warna sedikit demi sedikit. Langkah diperlahankan, sesekali saya menghampiri gigi air dan membiarkan ombak menyentuh kaki. Tiada apa yang perlu dikejar.

Cukup berjalan di sepanjang pantai, duduk seketika dan menyaksikan langit bertukar warna. Sesekali saya mencapai telefon untuk merakam memori. Indah, memang indah.

Namun, semakin lama berada di resort ini, semakin jelas bahawa tarikanya bukanlah terhenti di pantai dan laut.

Rasa Ria Nature Reserve menjadi sebahagian penting daripada pengalaman, menawarkan sisi Sabah yang lebih dekat dengan alam. Aktiviti seperti mencanting batik dan persembahan kebudayaan pula memperlihatkan dimensi berbeza, membawa tetamu mengenali warisan tempatan dalam suasana yang santai.

Apabila malam menjelma, pengalaman diteruskan dengan night walk di Timpak Pogimpaan.

Jika siang memperlihatkan hutan dalam suasana hijau dan tenang, malam membawa wajah yang sama sekali berbeza. Hidupan yang aktif selepas matahari terbenam mula bergerak, sementara bunyi-bunyi kecil dari sekeliling menjadi lebih jelas dalam kegelapan.

Menyusuri kawasan ini pada waktu malam memberikan satu pengalaman yang sukar diperoleh daripada sekadar melihat alam pada siang hari. Hutan ternyata mempunyai kehidupannya sendiri, dan ia terus bergerak selepas manusia mula berehat.

Usaha kelestarian resort turut menjadi sebahagian daripada cerita Shangri-La Rasa Ria menerusi EcoRia, termasuk kitar semula kaca serta sistem penuaian dan rawatan air hujan.

Pendekatan ini menarik kerana kelestarian tidak sekadar menjadi satu perkara untuk diceritakan, sebaliknya hadir dalam cara resort menghargai persekitaran yang menjadi sebahagian daripada pengalaman tetamu.

Hubungan antara alam dan kehidupan turut diterjemahkan menerusi Rooted In Nature Cooking Demo. Pengalaman ini menghubungkan makanan dengan sumber tempatan, memperlihatkan bagaimana bahan-bahan dari persekitaran boleh menjadi sebahagian daripada cerita gastronomi sesebuah destinasi.

Dari Alam Ke Meja

Apalah makna sebuah percutian tanpa pengalaman menjamu selera. Di Shangri-La Rasa Ria, tetamu boleh melakukan ekplorasi rasa. Ada beberapa lokasi selera yang menyediakan hidangan lazat untuk dicuba seperti Oceano Modern Grill, Coffee Terrace, Tepi Laut dan Kozan Teppan-yaki.

Setiap satu menawarkan suasana serta pengalaman yang berbeza, menjadikan waktu makan bukan sekadar persinggahan di antara satu aktiviti dengan aktiviti yang lain. Tetapi terapi memanjakan deria rasa.

Cef sedia ‘menghiburkan’ tetamu sebelum menikmati hidangan tengahari atau makan malam di Kozan Teppan-yaki

Antara menu yang boleh dinikmati di Tepi Laut

Inilah antara kelebihan berada di resort ini. Pilihan tersedia, tetapi tiada keperluan untuk mengejar semuanya.

Ada waktu untuk meneroka alam, ada ruang untuk mengenali budaya, ada masa untuk menikmati hidangan dan tentunya ada saat untuk kembali ke bilik, menutup pintu dan menikmati ketenangan sendiri.

Empat hari tiga malam akhirnya terasa terlalu singkat.Barangkali itulah yang membuatkan Shangri-La Rasa Ria begitu mudah mencuri hati. Ia tidak memaksa tetamu untuk sentiasa bergerak. Sebaliknya, resort ini memberi ruang untuk menentukan sendiri rentak percutian, sama ada mahu memenuhi hari dengan aktiviti atau sekadar menikmati pantai, laut dan ketenangan di bilik.

Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke sini, mungkin inilah masa yang sesuai.

Sempena ulang tahun ke-30, Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu menawarkan Limited Time Offer: 3rd Night On Us, yang membolehkan tetamu menikmati penginapan tiga malam dengan bayaran hanya untuk dua malam.

Tawaran ini dibuka untuk tempahan dari 1 hingga 30 Ogos 2026, bagi penginapan antara 15 Ogos 2026 hingga 30 Januari 2027. Lihat tawaran rasmi 3rd Night On Us

Tawaran tersebut membolehkan tetamu menikmati sarapan bufet untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, Dirty 30 ice cream untuk dua orang, serta akses ke Discovery Centre, Forest Garden dan Waterfall.

Aktiviti berjadual untuk kanak-kanak dan dewasa juga termasuk dalam tawaran, tertakluk kepada terma dan syarat.

Tiga malam di resort ini adalah tempoh yang lebih sesuai untuk benar-benar menikmati semuanya tanpa tergesa-gesa.

Ada masa untuk berjalan di Pantai Dalit, menunggu matahari melabuhkan tirai, menikmati suasana malam di Timpak Pogimpaan, berehat di balkoni sambil melihat pemandangan pantai, atau sekadar berendam di tab mandian dan membiarkan tubuh menikmati ketenangan.

Kerana sesetengah tempat bukan sekadar menawarkan penginapan. Ia menawarkan sebuah pengalaman yang mungkin tiada di tempat lain.

@travellahmy

Staycation yang memang susah nak beat di Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu! Ocean Suite jadi antara highlight utama — bangun dengan view laut, layan sunset sambil berendam dalam tub mandian di balkoni. Resort pun lengkap dengan swimming pool, jakuzi, spa, gim, Discovery Centre dan sediakan pelbagai aktiviti menarik. Tapi paling best? Slow down, enjoy the view dan just relax. Sempena ulang tahun ke-30, Shangri-La Rasa Ria ada offer Stay 3, Pay 2! 🔗 Tempahan: https://www.shangri-la.com/kotakinabalu/rasariaresort/offer-detail/rooms-suites/limited-time-offer-3rd-night-on-us/ #ShangriLaRasaRia #KotaKinabalu #Sabah #Staycation #travel

♬ original sound – Travellahmy – Travellahmy
Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah