Setelah mencipta pelbagai momen bersejarah dalam dunia fesyen tempatan, jenama fesyen adi busana Arunsayfulldesiree (ASD) tampil buat kali terakhir di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 dengan koleksi paling berani dan bermakna mereka – Amazon.
Sebanyak 36 helaian eksklusif diperagakan, mewakili satu naratif penuh emosi tentang kekuatan
wanita, keberanian alam, dan keindahan identiti.

Tema Amazon dipilih bukan sekadar sebagai penghormatan kepada alam flora dan fauna, tetapi sebagai metafora kepada semangat, kekuatan, dan keteguhan wanita masa kini.
“Setiap helaian dalam koleksi ini membawa suara wanita, lembut tapi gagah, sensitif tapi berani. Ia bukan sekadar rekaan, ia adalah naratif yang dijahit dari hati,” ujar dua pereka muda di sebalik jenama ini.
Gabungan Elemen Flora, Fauna dan Eksperimen Tekstil.
Koleksi Amazon diperkaya dengan elemen bunga eksotik dan motif haiwan yang membentuk asas utama dalam perincian serta manipulasi tekstil.
Pereka menggabungkan teknik manipulasi pola, jatuhan berlapis serta permainan tekstur 3D yang memberi bentuk dan struktur lebih berani serta dramatik.
Beberapa kunci utama di dalam koleksi ini termasuklah gaun finale berkonsep pengantin Amazon, yang menggabungkan kekuatan dan keanggunan dalam satu siluet megah, menghadirkan pernyataan penuh makna yang menjadikan pentas bukan sekadar tempat peragaan, tetapi medan ekspresi sebenar.
Fabrik seperti sutera, satin silk dan crèpe silk digunakan secara selektif kerana keupayaannya menangkap cahaya dan mencipta dimensi hidup.
Kesemua busana juga turut dihiasi sulaman tangan bertema flora dan fauna, menjadikan setiap rekaan sebagai hasil seni kerjatangan mewah.


Pementasan Terakhir, Tapi Semangat Berterusan.
KLFW 2025 menandakan penyertaan terakhir Arunsayfulldesiree dalam acara tersebut.
“KLFW adalah platform yang luar biasa untuk kami berkembang. Namun, kami percaya sudah tiba masa untuk melangkah ke pentas lebih besar dan membawa jenama ini ke luar negara,” kata mereka yang kini fokus untuk mengembangkan koleksi bridal dan couture ke pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Koleksi ini turut melibatkan kerjasama dengan beberapa penggiat seni seperti penata gaya, jurugambar fesyen dan artis visual, menjadikannya sebagai projek seni kolektif yang bukan hanya indah dipandang tetapi penuh nilai emosi dan cerita.

“Kami mahu penonton rasa kagum dan bangga, kagum pada kehalusan rekaan dan bangga pada keberanian yang diwakili oleh setiap helaian,” tambah mereka lagi.

