SCORE Marathon 2025 oleh AIA Vitality, salah satu acara larian beramai-ramai yang terbesar di Malaysia, bakal kembali menggegarkan dunia larian pada 13 Julai ini!

Sebagai antara acara paling dinanti-nantikan di Asia, perlumbaan ini dijangka menarik 33,000 pelari dari lebih 48 negara yang bakal berentap dalam kategori 5KM, 10KM, 21KM dan 42KM, sambil meraikan kejayaan peribadi dan gaya hidup sihat.

Berlatarbelakangkan keindahan Putrajaya, salah satu bandar paling ikonik dan lestari di Malaysia, para pelari akan menempuh laluan luas yang merentasi sebuah jambatan yang menawan serta pelbagai mercu tanda yang menakjubkan.

Selain menjadi medan menakluki rekod peribadi, peserta juga akan menikmati pengalaman ‘race-cation’ yang menyatukan cabaran kesukanan dengan penghayatan budaya – menyerlahkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan, keindahan semula jadi dan tarikan moden.

“Bermula secara sederhana pada 2014 dengan hanya 3,674 pelari, SCORE Marathon terus berkembang secara konsisten dan eksponen setiap tahun.”

“Pada 2024, lebih 24,253 pelari telah mengambil bahagian dan tahun ini, pendaftaran melonjak kepada 33,000 yang merupakan pencapaian baharu dalam sejarah SCORE,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan.

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan

“Acara ini merupakan hasil usaha lebih sedekad dalam menginspirasikan para pelari untuk menakluki cabaran – maka terhasilnya tema tahun ini, CONQUER YOUR NEXT CHALLENGE (TAKLUKI CABARAN ANDA SETERUSNYA).”

“Kami berharap mesej ini akan menginspirasikan semua peserta untuk melangkaui batasan, memperkasakan perkembangan individu, serta membudayakan gaya hidup dan minda untuk bertahan sehingga melepasi garisan penamat,” tambah beliau.

AIA Vitality: Penaja Utama untuk Tahun Keempat Berturut-turut

AIA Vitality, program kesihatan yang berasaskan sains dan inovasi oleh AIA Malaysia, meneruskan sokongan sebagai Penaja Utama SCORE Marathon buat tahun keempat berturut-turut.

Kerjasama jangka panjang ini mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk membudayakan gaya hidup aktif dan sihat.

“SCORE Marathon oleh AIA Vitality bukan sekadar satu perlumbaan – ia adalah perayaan kesihatan, komuniti, dan pencapaian peribadi. Di AIA, kami berbangga untuk menyokong satu gerakan yang menyatukan pelari daripada segenap lapisan masyarakat.”

“Pendaftaran seramai 33,000 peserta adalah satu pencapaian luar biasa, dan bukti semangat yang semakin tinggi terhadap gaya hidup aktif. Para peserta boleh menjangkakan acara yang lebih besar, hebat dan bertenaga, di mana mereka boleh merasai keterujaan larian sambil menawan matlamat kecergasan masing-masing.”

“Kami terinspirasi dengan semangat acara ini, dan akan tetap komited untuk menyokong dan menerajui inisiatif-inisiatif yang memperkasakan rakyat Malaysia untuk Hidup Lebih Sihat, Lama dan Lebih Baik,” kata Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chee Foong Wai.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chee Foong Wai

Menetapkan piawaian baharu untuk kelestarian

SCORE Marathon oleh AIA Vitality terus menerajui penganjuran acara yang lestari. Pada 2024, sebanyak 1,150 kg plastik berjaya dikitar semula, bersamaan dengan 46,320 botol plastik, sekali gus menetapkan piawaian baharu bagi acara kesukanan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar di rantau ini.

Tahun ini, komitmen terhadap kelestarian dipertingkatkan lagi dengan memperluas inisiatif hijau dan usaha mesra alam, termasuk:
* Bekerjasama dengan Pressio, jenama pakaian sukan berprestasi tinggi dan lestari yang menggunakan benang berasaskan bio, sebagai pembekal rasmi baju acara dan baju penamat.

* Bekerjasama dengan Natureloop untuk menghasilkan pingat berkualiti tinggi daripada bahan kitar semula.

SCORE Marathon memperkenalkan inisiatif hijau baharu, termasuk barangan peserta yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

Menerusi semua inisiatif ini, SCORE Marathon memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian, sambil menggalakkan para peserta untuk bukan hanya mengejar rekod peribadi, tetapi juga menyumbangkan impak positif yang berkekalan kepada bumi ini serta generasi masa hadapan.

Barisan rakan kongsi dan penaja terkemuka

SCORE Marathon 2025 oleh AIA Vitality mendapat sokongan daripada barisan penaja dan rakan kongsi terkemuka, selaras dengan visi dan matlamatnya.

Selain AIA Vitality sebagai Penaja Utama, syarikat penerbangan antarabangsa yang memenangi pelbagai anugerah, EVA AIR, turut menyertai sebagai Penaja Perak dengan hak penamaan bagi kategori 5KM, yang kini dikenali sebagai EVA AIR 5KM, mencerminkan jangkauan global acara ini.

Selain itu, Counterpain turut menyertai sebagai Penaja Rasmi Produk Analgesik Topikal, bagi membantu para pelari kekal cergas sepanjang perlumbaan.

SCORE Marathon juga berbesar hati menyambut semula rakan-rakan setia yang terus meningkatkan pengalaman peserta setiap tahun, Pressio kembali sebagai Rakan Pakaian Rasmi dengan kelengkapan berprestasi tinggi untuk pelari, N8 membekalkan tenaga sebagai Rakan Gel Tenaga Rasmi, ATF Sport Taping sebagai Rakan Pita Sukan Rasmi, serta Heyjom yang memastikan proses pendaftaran mudah dan lancar.

SCORE Marathon 2025 oleh AIA Vitality turut meraih sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan, dengan laluan larian yang telah diukur dan diperakui sebagai World Athletics Label Road Race.

Pengiktirafan ini sekali gus mengangkat SCORE Marathon sebagai acara kelayakan rasmi bagi Abbott World Marathon Majors, selain mengesahkan penyertaannya dalam Association of International Marathons and Distance Races (AIMS) serta menempatkannya dalam kelompok acara elit yang diiktiraf secara global.

Menjelang hari perlumbaan

Sementara pelari tempatan dan antarabangsa menanti-nantikan hari perlumbaan pada Julai nanti, Jelajah Klinik Larian SCORE Marathon 2025 kini sedang berlangsung di sekitar Lembah Klang.

Ia memberikan panduan kepada peserta yang serius mahupun pelari santai tentang teknik larian yang betul serta gaya hidup lebih aktif.

Untuk maklumat lanjut, ikuti @scoremarathon di Instagram dan SCORE Marathon di Facebook bagi mendapatkan maklumat terkini, sorotan acara, serta kisah menarik dari trek perlumbaan.

Untuk pertanyaan media, penajaan atau kolaborasi, layari scoremarathon.com.

Share:
You may also like
Latest Posts from Travellah