Tourism Selangor telah melancarkan video promosi Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 versi Mandarin sempena ITB China 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Ekspo Dunia Shanghai pada 27 hingga 29 Mei 2025.

Video ini telah dilancarkan oleh YBM Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan turut disempurnakan bersama oleh YB Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor.

Pelancaran strategik ini menegaskan komitmen Selangor dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran China, serta menyasarkan peningkatan sebanyak 25% dalam ketibaan pelancong dari China pada tahun 2025, sekali gus meletakkan Selangor sebagai destinasi utama untuk pelancongan dan pelaburan.

Sebagai negeri paling maju dan mudah diakses di Malaysia, Selangor terus menjadi pintu utama kemasukan pelancong China ke negara ini, dengan mencatat kehadiran seramai 584,566 pelancong dari China pada tahun 2024. Daerah Petaling kekal sebagai tarikan utama, dengan Subang Jaya mencatatkan bilangan pengunjung tertinggi dari kalangan pelancong China.

Menurut YB Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, pihaknya komited untuk menjalin kerjasama jangka panjang dengan rakan pelancongan dan perniagaan dari China, selain menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam ekosistem pelancongan negeri yang pesat membangun. Matlamat Selangor tahun ini adalah untuk menarik 8 juta pelancong dan menjana hasil pelancongan sebanyak RM11.7 bilion.

“Kami yakin, melalui penyertaan strategik di ITB China serta kempen promosi yang disasarkan, sasaran peningkatan 25% ketibaan pelancong dari China dapat dicapai menjelang penghujung tahun.

Tambahan pula, sambungan penerbangan yang kukuh antara Shanghai dan Kuala Lumpur dengan 81 penerbangan mingguan oleh China Eastern, Malaysia Airlines, AirAsia, Juneyao dan Shanghai Airlines, ini turut menyokong sasaran ini. Selangor bersedia untuk bekerjasama rapat dengan pelabur dan pihak berkepentingan industri pelancongan, selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) serta kempen global Surprising Selangor di bawah TMS 2025,” ujarnya.

Delegasi Tourism Selangor ke ITB China disertai oleh tujuh pengusaha produk pelancongan utama, mewakili pelbagai segmen seperti hotel, taman tema, pelancongan eko dan pengalaman berasaskan komuniti. Antara yang turut serta adalah Sunway Lagoon, Skyluge, D’King, Farm In The City, Wet World Shah Alam, Eastin Hotel dan One World Hotel.

Sepanjang penganjuran ITB China, lebih 40 sesi pertemuan B2B dijadualkan bersama ejen pelancongan China, selain dua sesi G2G penting dengan Konsulat Malaysia dan Tourism Malaysia Shanghai, bagi memperluas kerjasama dan meningkatkan lagi keterlihatan destinasi Selangor di pasaran China.

Tourism Selangor juga sedang giat menjemput agensi dan persatuan pelancongan dari China untuk menyertai lawatan pengenalan (FAM Trip), termasuk menyediakan sokongan logistik khusus untuk merintis peluang kolaborasi baharu.

Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, gastronomi, agro-pelancongan, pelancongan MICE dan pelaburan, Selangor berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi citarasa pelancong masa kini dan terus merancakkan pasaran pelancongan masuk dari China.

Share:
, , , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah