Kajian Travel Pulse terkini yang dijalankan oleh Klook bersama platform pandangan pengguna GWI di 14 pasaran mendedahkan bahawa hampir semua pengembara muda menganggap percutian sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan.

Namun, mengejutkan apabila sembilan daripada 10 orang berasa kecewa kerana tidak dapat merealisasikan percutian idaman mereka disebabkan oleh kekangan masa, komitmen kerja, dan kebimbangan kewangan.

“Golongan milenial dan Gen Z semakin percaya percutian idaman adalah terapi terbaik untuk mereka. Di tengah-tengah tekanan hidup yang kian mencabar, ramai yang mencari ketenangan melalui pengembaraan.”

“Dengan 92% mengalami sindrom pasca percutian atau ‘blues’ selepas pulang dari percutian dan hampir 40% terus merancang percutian seterusnya, jelas bahawa perjalanan bukan sekadar lari daripada rutin harian, tetapi ia adalah peluang untuk menemui diri sendiri, mencetus kreativiti, dan memperbaharui jiwa,” ulas Presiden dan Pengasas Bersama Klook, Eric Gnock Fah.

Bagi 64% pengembara ini, perjalanan bukan sekadar lari daripada rutin, tetapi ia adalah butang ‘reset’ untuk menyegarkan minda dan meningkatkan keyakinan diri.

Di Malaysia, semua responden (100%) bersetuju bahawa percutian sangat berkesan dalam mengurus tekanan dan meningkatkan kesejahteraan, menjadikan perjalanan dilihat sebagai satu terapi.

Menginap di hotel yang mempunyai pemandangan indah pasti membuatkan hati berbunga-bunga

Malah, dua daripada tiga orang (69%) memberitahu bahawa perjalanan berjaya mengurangkan tahap tekanan mereka dengan ketara. Namun, kekangan masa kekal sebagai halangan terbesar untuk melancong.

Pengembara dari Tanah Besar China paling terasa terikat dengan jadual yang padat (74%), manakala pengembara dari Australia (38%) menikmati kebebasan masa yang lebih fleksibel.

Milenial dan Gen Z lebih rela keluarkan wang untuk pengalaman berharga

Golongan Milenial dan Gen Z bijak memilih bagaimana untuk membelanjakan wang mereka dalam bab penjagaan diri.

Walaupun bajet menjadi pertimbangan utama, mereka tidak sanggup berkompromi dalam hal pengalaman.

Malah, 91% bersedia untuk memperuntukkan sehingga separuh daripada bajet perjalanan mereka untuk pengalaman berharga, berbanding berbelanja lebih pada kos penerbangan. Semua ini demi memaksimumkan kenikmatan semasa bercuti.

Milenial dan Gen Z tidak begitu terarah berbelanja lebih pada kos penerbangan

Pengembara Gen Z, khususnya, lebih berhati-hati dalam berbelanja dan cenderung memilih pakej perjalanan berbundle untuk memanfaatkan bajet dengan lebih bijak.

Walaupun harga mampu milik menjadi keutamaan, mereka tetap mengutamakan pengalaman yang unik dan asli. Hidangan tempatan dan destinasi luar kebiasaan kekal sebagai pilihan utama.

Media sosial pengaruhi perancangan perjalanan

Inspirasi percutian kini lebih banyak dipengaruhi oleh kuasa media sosial, yang menjadi sumber maklumat utama dalam merancang percutian. Menurut kajian:

  • 79% pengembara telah menempah aktiviti, penginapan, dan pengalaman menjamu selera berdasarkan cadangan di media sosial, membuktikan pengaruh besar platform ini terhadap keputusan perjalanan.
  • Pengembara dari Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina cenderung mengikuti cadangan di media sosial, manakala mereka dari Australia, Jepun, dan Amerika Syarikat kurang terpengaruh.
  • Bagi pengembara yang mementingkan estetika, 27% sanggup berbelanja sehingga lebih 20% untuk mengunjungi lokasi yang popular di media sosial.

Pengembara tidak sabar untuk mula pengembaraan baharu

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, semangat pengembara tetap berkobar-kobar.  Malah, 84% sudah merancang untuk melancong ke luar negarasekurang-kurangnya sekali pada tahun 2025, berbanding 71% pada tahun 2024.

Apabila memilih destinasi seterusnya, 28% ingin meneroka tempat baharu yang belum pernah mereka lawati.

Jepun kekal sebagai destinasi pilihan utama untuk tahun 2025, diikuti dengan Tanah Besar China yang menyaksikan peningkatan permintaan lebih 7 kali gandaberbanding tahun lepas.  

Jepun kekal sebagai destinasi pilihan utama untuk tahun 2025

Klook turut mengenal pasti 25 destinasi baharu yang semakin popular, menawarkan gabungan keunikan bandar dan keindahan alam semula jadi.

Percutian kini bukan sekadar melarikan diri daripada rutin harian, tetapi menjadi terapi diri, dan kunci kepada kehidupan yang lebih seimbang.

Apabila generasi ini mencari makna dan pembaharuan hidup, masa depan pelancongan akan terus menawarkan pengalaman yang menyegarkan, menginspirasi, dan memberi kekuatan untuk pengembara kembali menemui diri mereka yang sebenar.

Share:
, , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah