Keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan dalam industri pelancongan Selangor. Pihak Tourism Selangor mengambil maklum tentang kejadian yang telah terjadi di Taman Tema SkyCity dan akan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menjamin keselamatan serta keselesaan para pelancong.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Dato’ Ng Suee Lim berkata, kesemua pengendali tapak pelancongan di Selangor bertanggungjawab untuk memastikan standard keselamatan yang tertinggi untuk para pengunjung.

“Bagi isu yang terjadi di SkyCity baru- baru ini, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan mengeluarkan beberapa kompaun dan notis amaran kepada operator yang terlibat, sebelum kawasan tersebut dibuka kepada umum.”

“Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh dan menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan dan memastikan operator produk pelancongan di Negeri Selangor mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.”

“Pihak SkyCity juga disarankan untuk mengambil langkah penambahbaikan serta memperketat protokol keselamatan sebelum dibenarkan beroperasi semula”, ujar beliau.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri  Amirudin bin Shari pula menegaskan bahawa pihak kerajaan Negeri Selangor akan memanggil semula pihak pengurusan taman tema tersebut.

“Operasinya akan dihentikan serta merta, sehingga operator terbabit dapat memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).”

“Pihak Kerajaan Negeri Selangor juga akan mengambil kira aspek keselamatan yang perlu dipatuhi oleh operator taman- taman tema di Negeri Selangor,” ujar beliau.

Tourism Selangor dan kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengukuhkan usaha pemantauan dan memastikan semua tapak pelancongan mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan. T

Tourism Selangor komited untuk menyediakan maklumat pelancongan yang tepat dan mempromosi produk pelancongan yang berlesen melalui laman web rasmi Tourism Selangor di visitselangor2025.my atau melalui platform media sosial di @TourismSelangor.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah